Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lim: Anwar diberi masa seminggu
Diterbitkan:  Apr 9, 2009 1:52 PM
Dikemaskini: 10:26 AM

kemaskini Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan masa seminggu untuk mencari pengganti Mohammad Fairus Khairuddin yang melepaskan timbalan satu ketua menteri Pulau Pinang semalam.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, keputusan itu boleh diketahui dalam tempoh seminggu, lapor Bernama .

"Sungguhpun kerajaan negeri dan Pakatan Rakyat rasa tepat masanya untuk membuat lantikan baru penjawat timbalan ketua menteri 1 (ketika ini), tetapi setelah berbincang dengan Anwar, beliau meminta diberikan sedikit masa.

"Saya harap perkara ini dapat dijelaskan oleh Anwar dalam masa seminggu," Lim dipetik berkata di pejabatnya hari ini.

Mohammad Fairus, yang kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa, juga meletakkan jawatan exco negeri berkuatkuasa serta-merta semalam.

Lim juga berkata, beliau tidak perlu melantik pemangku jawatan penting itu buat masa ini kerana nama calonnya akan diserahkan tidak lama lagi.

Diminta mengulas kemungkinan Mohammad Fairus mengosongkan kerusi Penanti, Lim dilaporkan berkata:

"Lebih baik ia ditanya kepada Anwar sendiri kerana beliau sentiasa berhubung dengan Mohammad Fairus.

"Beliaulah yang akan memutuskan perkara itu kerana ia melibatkan wakil daripada partinya."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS