Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pewaris turut kecam Nga Kor Ming
Diterbitkan:  Apr 6, 2009 4:05 PM
Dikemaskini: 8:13 AM

Majlis Permuafakatan Ummah (PEWARIS) mengutuk perbuatan ADUN DAP, Nga Kor Ming menggunakan ayat al-Quran dalam ceramah politiknya di Bukit Gantang.

"Isu ini serius kerana Nga jelas telah melampaui batas," kata Timbalan Presiden PEWARIS, Rahimuddin Md Harun.

Semalam satu laporan polis dibuat terhadap setiausaha DAP Perak itu kerana didakwa mempersendakan Islam dalam ceramah politiknya di Changkat Jering tiga hari lalu dalam pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang.

Nga juga merupakan Ahli Parlimen Taiping dan ADUN Pantai Remas.

Menurut Rahimuddin, tindakan Nga itu telah menimbulkan kemarahan umat Islam dan PEWARIS mengutuk tindakan setiausaha DAP Perak itu yang disifatkannya sebagai biadap.

"Ini bukan soal politik kerana kesucian al-Quran perlu dipelihara oleh semua umat Islam tanpa mengira fahaman politik.

"Ayat al-Quran tidak boleh digunakan oleh orang kafir kerana mereka tidak beriman kepada Allah," kata Rahimuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Gubal undang-undang

Sehubungan itu, katanya, PEWARIS memberi amaran kepada sesiapa sahaja supaya jangan menghina al-Quran "kerana kami berjuang mempertahankan kesucian al-Quran dan agama Islam di Malaysia".

"Negara kita aman dan makmur. Jangan kerana ada golongan yang kurang ajar seperti Nga, kemakmuran negara akan tergugat," tambahnya.

Rahimuddin juga mahu siasatan dan tindakan tegas diambil terhadap Nga bagi memastikan rakyat negara ini terus menghormati satu sama lain dan mengekalkan perpaduan antara kaum dan agama.

"PEWARIS tanpa kepentingan politik menasihatkan ADUN terbabit agar jangan terus mencabar maruah umat Islam dan menghentikan tindakan menggunakan ayat suci a-Quran," tegasnya.

Beliau juga menyarankan supaya satu perundangan digubal untuk menghukum golongan tersebut demi kemakmuran dan perpaduan kaum.

Laporan polis tersebut dibuat oleh presiden Badan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Abu Bakar, di ibupejabat polis Taiping petang semalam.

Osman mendakwa Nga, dalam ucapan tersebut, mempersendakan Islam dengan menyebut ayat al-Quran daripada Surah Al-A' raf untuk tujuan kempen dan menyebutkan secara tidak betul.

Beliau mendakwa Nga - yang juga ahli Parlimen Taiping dan ADUN Pantai Remis - menyebut Surah Al-A'raf sebagai Al-Aurah dalam satu ceramah dua hari lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS