Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
13 tahanan ISA dibebaskan esok
Diterbitkan:  Apr 4, 2009 1:02 PM
Dikemaskini: 5:11 AM

Seramai 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dibebaskan, akan keluar dari Kem Tahanan ISA Kamunting Taiping esok, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Beliau berkata kesemua mereka akan dibebaskan sejurus selepas semua proses dokumentasi mengenai kes dan pembebasan mereka disiapkan.

"Tidak bolehlah bebaskan mereka serta merta, ada beberapa urusan dokumentasi perlu disiapkan terlebih dahulu.

"Kesemua mereka akan kita bebaskan esok setelah dokumentasi yang berkaitan lengkap," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri semalam mengumumkan mengenai pembebasan serta merta 13 tahanan ISA.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar dalam satu kenyataan semalam berkata, dua peguam Hindraf V. Ganabatirau, 40, dan R. Kenghadharan, 40, adalah antara 13 tahanan ISA yang dibebaskan itu. Mereka ditahan pada 13 Disember 2007.

Tahanan lain yang dibebaskan ialah tujuh orang anggota Darul Islam, tiga rakyat asing kerana memalsukan dokumen dan seorang anggota Jemaah Islamiah.

Anggota Darul Islam yang dibebaskan ialah Binsali Omar, A. Artas A. Burhanudin, Idris Lanama, Francis Indanan, Mohd Nazri Dollah, Pakana Selama dan Mohd Arasad Patangari yang ditahan sejak 2006. Tempoh tahanan mereka sepatutnya

berakhir tahun depan.

Tiga rakyat asing itu ialah Sundaraj Vijay (warga India) dan dua warga Myanmar iaitu San Khaing dan Amir Hussain. Mereka ditahan sejak 2007.

Anggota Jemaah Islamiah itu ialah Wan Amin Wan Hamat yang ditahan sejak 2003. Tempoh tahanannya sepatutnya berakhir pada 2011.

ADS