Peniaga dan penduduk Pasar Minggu, Kampung Baru semalam berpeluang meluahkan rungutan mereka di sesi pendengaran awam berhubung pembangunan semula kawasan mereka dengan kompleks Puncak Baru.
Hampir 30 orang termasuk pemilik tanah dan anggota Persatuan Peniaga dan Kebajikan Pasar Minggu (PPKPM) hadir untuk sesi anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diadakan antara 10 pagi hingga 4 petang.
"Mereka yang telah mendaftarkan nama sahaja yang diundang menyampaikan pandangan mereka di hadapan para panel yang dilantik oleh DBKL," kata timbalan yang dipertua PPKPM Mohamad Nadzri Abdul Hamid.
Beliau sendiri bagaimanapun tidak dapat hadir pada sesinya antara jam 12 hingga 1 tengah hari kerana ada urusan lain.
Sesi itu membenarkan seorang demi seorang pengadu menyuarakan bantahan atau cadangan kepada lima ahli panel bebas, katanya.
"Saya tak tahu itu pertemuan seorang demi seorang. Rupa-rupanya pertemuan itu seorang demi seorang dengan ahli panel untuk membincangkan hal masing-masing. Mereka guna kad giliran. Saya terpaksa tunggu lama.
"Jadi, saya minta sesi pertemuan saya dengan panel itu ditunda ke suatu tarikh lain yang belum diputuskan lagi.
"Pertemuan itu, melibatkan mereka yang ada kepentingan dengan lot-lot seperti tuan tanah, pemilik tanah dan peniaga," kata Mohamad Nadzri.
Isnin lalu, bekas perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merasmikan majlis pecah tanah projek RM500 juta itu di tapak Pasar Minggu sebagai "segitiga emas" terbaru di Kuala Lumpur.
Sejak pertengahan tahun lepas, kumpulan peniaga ini membantah usaha membangunkan semula Lot 25 Kampung Baru yang dianggap kawasan perniagaan terawal orang Melayu yang pernah dirasmikan oleh perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman pada 1967.
Mohamad Nadzri mempertikaikan pembangunan Puncak Baru dan mendakwa perbincangannya "tidak telus" sewaktu pertemuan PPKPM dengan DBKL sebelum ini.
"Perbincangan pun tidak telus. Dulu, (mereka kata) daripada bangunan 2 blok 53 tingkat, kemudian kita dengar 60 tingkat pula.
"Kemudian, daripada 180 lot premis perniagaan (yang dijanjikan untuk PPKPM) sudah tinggal 56 buah lot. Kita pun nak tahu 56 lot itu milik siapa?
"Sehingga sekarang tak ada surat tawaran (menjelaskan) tentang 56 lot tersebut (milik siapa)," kata beliau.