Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Peniaga dan Kebajikan Pasar Minggu (PPKPM) dijadual bertemu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) esok secara tertutup untuk membincangkan pembangunan kompleks Puncak Baru di tapak niaga mereka itu.

pak lah launch of menara puncak baru in kampung baru kl 300309 03 Yang Dipertua PPKPM Dr Hosni Hussen Md Saat mengesahkan pertemuan tersebut.

"Ya, wakil (kami) akan hadir (dalam perjumpaan tersebut)," katanya kepada Malaysiakini .

Beliau bagaimanapun dijangka tidak dapat hadir berikutan urusannya di luar negara dalam tempoh terdekat.

Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merasmikan majlis pecah tanah projek RM500 juta itu di tapak Pasar Minggu, Kampung Baru sebagai "segitiga emas" terbaru di Kuala Lumpur.

Menyentuh perkembangan terbaru itu, Dr Hosni berkata, PPKPM telah menghubungi beberapa individu dalam usaha membincangkan hal tersebut.

"Kami sudah menghubungi ahli parlimen (Titiwangsa), (pemaju) Hijjas Kasturi dan lain-lain yang terlibat dalam urusan pembangunan Puncak Baru sebelum ini untuk berbincang hal berkenaan," katanya.

Sejak pertengahan tahun lepas, kumpulan peniaga ini membantah usaha membangunkan semula Lot 25 Kampung Baru yang dianggap kawasan perniagaan terawal orang Melayu yang pernah dirasmikan oleh perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman pada 1967.

Tapak perniagaan itu meliputi kawasan Pasar Minggu, gerai Mara, pusat kebudayaan PKNS dan deretan gerai makanan di Jalan Raja Muda Musa.

PPKPM tidak berpuas hati kerana usaha mereka berunding dengan DBKL gagal walaupun Puncak Baru membawa kesan besar kepada kumpulan peniaga itu.

Pada hari perasmian Puncak Baru, kumpulan peniaga itu merancang mengadakan bantahan tetapi membatalkannya saat akhir dengan alasan tidak mahu memalukan perdana menteri.

Menjelas kenyataannya sebelum ini, Dr Hosni berkata, beliau tidak bermaksud menyatakan "memalukan Abdullah" tetapi "ingin menunggu masa yang sesuai" untuk menemuinya pada hari tersebut.

"Kami memang nak jumpa perdana menteri hari itu, tetapi keadaan tidak mengizinkan kami berbuat demikian," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS