Most Read
Most Commented
Read more like this

Seorang ahli kimia hari ini menjelaskan ujian DNA terhadap tiga sampel darah yang diambil daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang Mohamed Azmin Ali, isteri dan anaknya mempunyai hubungan kekeluargaan.

Lim Kong Boon, 47, saksi kedua dari Jabatan Kimia Petaling Jaya, Selangor memberikan keterangan itu di depan Hakim Mahkamah Sesyen Ampang, Mohd Saman Mohd Ramli.

Pakar itu berkata tiga sampel darah yang beliau terima itu telah ditandakan dengan sampel A, B dan C pada 29 Julai 1998.

"Keseluruhan ujian tersebut menunjukkan penderma darah sampel B dan penderma darah sampel C masing-masing adalah konsisten (sebagai) ibu bapa biologikal kepada penderma spesimen (contoh) darah A," kata Lim, sambil menambah ujian terhadap darah A membuktikan sampel itu adalah wanita.

Lim bagaimanapun memaklumkan beliau tidak mengetahui sampel-sampel A, B dan C itu milik "siapa."

Beliau memberitahu mahkamah bahawa ujian kebapaan (paternity) membuktikan keturunan biologi terhadap sampel A, berdasarkan sampel B dan C, hampir tepat 99.9 peratus. Ujian itu menggunakan teknik reaksi berantai polimeras (PCR) dan ' restriction fragment length polymorphisms ' (RFLP), kata pakar itu lagi.

(Ujian RFLP dan PCR adalah analisa kimia ke atas contoh darah untuk menguji baka atau keturunan seseorang dan teknik-teknik ini digunakan di seluruh dunia dalam kes-kes jenayah dan kekeluargaan).

Mahkamah pagi tadi mendengar keterangan dua orang saksi dalam perbicaraan penulis buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM , Abdul Khalid @ Khalid Jafri Bakar Shah, 60.

Skandal seks

Khalid dituduh menulis berita palsu pada muka surat 29, perenggan 12 buku tersebut pada Mei 1998 di pejabat Media Pulau Lagenda di No. 27 M, Jalan Kosas 1/3, Taman Kosas, Ampang, Selangor.

Beliau dituduh di bawah Seksyen 8A (1) Akta Penerbitan dan Mesin cetak 1984 dan jika sabit kesalahan, seseorang boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.

Buku tersebut menyebutkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat dalam satu skandal seks dengan seorang wanita Shamsidar Taharin, isteri bekas Setiausaha Sulitnya, Azmin.

Saksi pertama, seorang lagi ahli kimia daripada jabatan yang sama, N Hithaya Jeevan, 48, dipanggil bagi mengesahkan dokumen dan bungkusan yang dibawa oleh ASP Redzuan Yusof ke jabatan itu dan kemudian ia diserahkan kepada Lim pada tarikh yang sama.

Timbalan Pendakwaraya, Abdul Karim Abdul Jalil, memohon supaya nama anak Azmin tidak disebut untuk siaran akhbar dan hakim telah bersetuju kerana ia melibatkan kepentingan kanak-kanak itu.

Khalid diwakili oleh peguam bela, Shamsul Bahrain Ibrahim dan Shashi Menon. Kes ini disambung jam 10 pagi esok.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS