Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Pemuda Umno yang baru, Khairy Jamaluddin malam ini mempengerusikan mesyuarat pertama barisan exconya yang dipilih dalam pemilihan pucuk pimpinan pergerakan tersebut Rabu lalu.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat tersebut, Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau berkata beliau telah mendapat sokongan padu daripada semua barisan exco untuk menerajui pergerakan tersebut.

"(Naib ketua Pemuda) Datuk Razali Ibrahim dan barisan exco telah memberi jaminan untuk memberi sokongan penuh kepada saya sebagai ketua Pemuda," katanya.

Khairy juga diminta mengulas tulisan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blognya bahawa beliau tidak menghadiri majlis perasmian perhimpunan agung Umno semalam kerana Pemuda Umno secara langsung dan terbuka, merestui politik rasuah.

Dr Mahathir berkata beliau merasakan dirinya akan tercemar "jika berada dalam majlis yang disertai oleh orang yang mendukung amalan rasuah".

"Mereka memilih sebagai ketua mereka, seorang yang telah didapati bersalah menggunakan wang dan sogokan dalam usahanya untuk dipilih sebagai ketua Pemuda.

"Sama ada dia dibenar bertanding atau tidak, tidak menidakkan dianya adalah perasuah," tulis Dr Mahathir lagi.

Sebelum ini Lembaga Disiplin Umno mendapati Khairy dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Mohd Ali Rustam bersalah selepas ejen-ejen mereka didapati terbabit dalam rasuah dan sogokan politik.

Ekoran itu, Mohd Ali dilarang bertanding jawatan timbalan presiden Umno.

Manakala Khairy hanya diberi amaran dan dibenarkan bertanding

Selepas keputusan pemilihan ketua Pemuda Umno diumumkan pada malam Rabu, ratusan penyokong Mukhriz berhimpun di dalam PWTC kerana membantah pemilihan Khairy menerajui pergerakan tersebut.

Hampir 100 anggota polis terpaksa membentuk benteng bagi memisahkan antara penyokong Mukhriz dengan pihak yang lain.

Ulas tulisan Dr M

Ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir itu, Khairy berkata, beliau menghormati pandangan mantan perdana menteri itu sebagai seorang negarawan yang pernah menjadi perdana menteri.

"Tetapi pada masa yang sama barisan exco melihat ke hadapan untuk mendapatkan sokongan yang padu untuk bekerjasama dengan Umno Malaysia," katanya.'

Mesyuarat yang berlangsung selama lebih dua jam itu, mulai jam 8.30 malam, melantik Razali untuk mengetuai kempen Pemuda Umno dalam pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau.

"Exco Pemuda akan berada sepenuh masa di Bukit Selambau dan Bukit Gantang," katanya.

Khairy berkata, pergerakan tersebut mengambil pendekatan sebagai fasilitator untuk menggerakkan jentera Pemuda tempatan bagi kedua-dua kawasan tersebut esok petang.

"Di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, kita bukan penyandang (bagi kerusi tersebut), jadi ia cabaran yang cukup besar (kepada kita).

"Kita buat persiapan yang terbaik dengan pendekatan yang berhemah," katanya.

Saingan sebenar

Ditanya cara beliau untuk menghadapi pengundi di kedua-dua kawasan tersebut, Khairy berkata, pergerakan itu akan memberi penjelasan kepada pengundi tanpa menumpu kepada masalah dalaman parti.

"Tumpu pada isu sebenar yang disentuh pembangkang, isu-isu yang dibangkitkan oleh pembangkang, isu-isu yang perlu dibangkitkan oleh Barisan Nasional, terutama di Bukit Gantang, seperti isu institutsi raja-raja dan perlembagaan.

"Kita melihat ke hadapan dengan melihat pada saingan kita sebenarnya," katanya.

Khairy turut menjemput bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Mohd Khir Toyo dan ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir untuk bersama-sama Pemuda berkempen dalam kedua-dua pilihanraya kecil tersebut.

Katanya, beliau tidak melantik kedua-dua pemimpin tersebut berperanan secara rasmi dalam pergerakan tersebut, kerana mereka sudah melebihi had umur.

Sebaliknya, katanya, beliau berusaha untuk meminta pandangan dan nasihat untuk bersama-sama memimpin pergerakan tersebut.

Diminta mengulas berhubung pengiraan undi bagi pemilihan pucuk pimpinan pergerakan berkenaan yang mengambil masa selama enam jam, beliau berkata:

"Daripada laporan yang saya dapat dan wakil-wakil calon, tidak ada sebarang kepincangan dalam pengiraan undi kerana semuanya telus," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS