Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden baru Umno, Datuk Seri Najib Razak disaran membubarkan lembaga disiplin yang didakwa oleh seorang perwakilan sebagai punca perkelahian sesama ahli Umno.

"Saya setuju cadangan bakal presiden supaya dikaji semula Perlembagaan Umno (berhubung pemilihan parti).

"Tetapi sebelum kita kaji perlembagaan itu, bubarkan lembaga disipllin Umno terlebih dahulu," kata wakil Umno Pulau Pinang, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Tambahnya, beliau mencadangkan sedemikian "kerana lembaga ini buat kita berkelahi sesama sendiri.

"Yang (calon) ini ambil tindakan, yang (calon) itu tidak... yang ini kena tindakan, yang ini biar.

"Kaji siapa mereka ini, kita bubar dan lantik yang lain, bukan semua yang datang ini politik wang," katanya ketika membahaskan usul terima kasih kepada ucapan presiden Umno.

Siapa lemah

Berhubung persepsi bahawa Umno kini sedang lemah, Musa berkata:

"Kita cakap Umno lemah, tetapi yang bagi Umno lemah siapa? Kita (sendiri)".

Musa juga tidak bersetuju Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terlibat menyiasat dakwaan politik wang dalam Umno.

"Tak payah bawa SPRM nak gempar kita, nak pantau kita.

"Lembaga disiplin buat kerja mereka, kami tahu kerja kami. Depa (Mereka) ini orang Umno ke? Ada semangat Melayu ke?

"Nak cari salah orang senanglah," katanya, yang sering mendapat tepukan gemuruh para perwakilan.

Musa juga menyamakan kempen calon-calon Umno seumpama karnival 'Sure Heboh' yang dianjurkan oleh stesen TV3.

'Sure heboh'

"Saya minta presiden baru nanti buatlah perubahan. Bercakap tentang politk wang, nak bersih, bersihkan sesama kita. Tidak payah cerita dalam akhbar dan dalam TV.

"Panggil Pemuda, panggil bahagian berjumpa.

"Bukan buat road show ... TV3 buat 'Sure heboh', Umno pun buat 'Sure heboh'

"Panggil semua, naik pentas satu-satu, macam ratu cantik terketek-ketek...yang dibawa pakat gelak...," katanya.

Beliau juga menyindir calon-calon yang bertanding dalam pemilihan Umno kali ini.

"Pada masa ini, kita telefon jam 2 atau 3 pagi pun dia angkat, lepas ini saya harap jangan tukar nombor telefon," tegas Musa.

ADS