Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 2.48pm Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Utusan Melayu (M) Bhd membatalkan piket berhubung isu perjanjian bersama (CA) di persidangan Umno setelah gagal mendapat permit polis hari ini.

Pengerusi kesatuan Amran Ahmad memberitahu Malaysiakini , polis memaklumkan keputusan tidak memberikan permit berpiket kepadanya tengahari ini.

"Saya terkejut, kali ini cepat pula dapat jawapan (daripada polis). Selalunya polis beri jawapan agak lambat," katanya.

Ditanya tindakan selanjutnya, beliau menambah, NUJ Utusan akan memikirkan cara-cara lain untuk mengatasi kebuntuan rundingan CA dengan majikannya.

Permohonan permit itu dibuat di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi jam 11 pagi semalam selepas mendapat sokongan majoriti barisan exco kesatuan tersebut.

NUJ Utusan merancang piket setelah gagal mendapat maklum balas barisan pemimpin tertinggi Umno termasuk Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak.

Ia menyifatkan tindakan tersebut "medan komunikasi berkesan" untuk menyuarakan masalah mereka.

Amran berkata kira-kira 20 pucuk surat dikirim sejak awal tahun ini kepada menteri-menteri Umno tetapi tidak mendapat sebarang reaksi mereka.

Kesatuan itu mewakili hampir 300 ahli yang terdiri daripada wartawan, jurugambar dan artis grafik yang menjadi nadi jabatan pengarang akhbar-akhbar keluaran Utusan Melayu (M) Berhad, Utusan Malaysia , Mingguan Malaysia dan Kosmo! .

Tuntutan NUJ Utusan bagi CA penggal 2008 hingga 2011, antaranya, pelarasan gaji sebanyak 10 peratus, kenaikan gaji tahunan RM5, tambahan elaun kenderaan sebanyak RM50 dan pengekalan faedah-faedah lain yang terkandung dalam CA itu.

Rundingan terbaru susulan CA lama yang telah tamat pada 31 Julai tahun lepas.

Dihubungi hari ini, Amran berkata ramai anggota kesatuan tersebut menyokong tindakan berpiket.

Difahamkan kawalan ketat keselamatan di sepanjang perhimpunan agung Umno - yang juga menyaksikan pertandingan sengit jawatan-jawatan utama parti - menyukarkan polis meluluskan permit.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS