Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata sepatutya ada sedikit kawalan terhadap ruang dan kebebasan yang banyak diberikannya untuk berbicara mengenai pelbagai isu.
Katanya beliau seharusnya berbuat demikian supaya rakyat lebih bertanggungjawab.
"Tetapi saya terlalu membiarkannya," kata Abdullah dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia yang disiarkan hari ini.
Beliau ditanya tentang kegagalan, kekecewaan, kritikan dan cabaran yang dihadapinya selama mentadbir negara.
"Bagaimanapun, saya tidak menganggap apa yang saya lakukan satu kesilapan," katanya.
Perdana menteri berkata, memang rakyat perlu ada kebebasan dan beliau ingin melihat mereka lebih bertanggungjawab.
"Kalau terlajak sikit, itu yang menjadi susah. Saya maksudkan keseluruhan media, termasuk internet," tegas Abdullah.
Ghairah mensensasi
Menurutnya, nampat sangat keghairahan mensensasi yang bukan fakta.
Yang buruknya, tegas beliau, apabila fakta itu diperolehi, ia diketepikan atau kurang diberi perhatian.
"Ini kerana keghairahan untuk mensensasi isu itu lebih kuat," tambahnya.
Abdullah juga berkata, ada desas-desus dalam Umno menyatakan kebebasan berlaku kerana salah beliau.
"Umno mesti menerima hakikat tentang banyak perubahan yang sedang berlaku sekarang.
"Dari segi kritikan, mereka mempunyai hak untuk memberi pandangan. Kadang-kadang apa yang diperkatakan oleh mereka, tidak betul dari segi fakta," katanya.
Perubahan minda
Menurut Abdullah, perkara yang paling mencabar sekali ialah membawa perubahan minda dan itulah yang cuba beliau lakukan.
"Kita boleh soal reform , tetapi kalau kepala dan hati anda tidak reform lagi, (maka) reform apa yang anda hendak lakukan. Itulah yang paling mencabar saya," katanya.
Menurut Abdullah, beliau sepatutnya melakukan segala pembaharuan yang diinginkan rakyat sebaik sahaja selepas beliau mendapat mandat terbesar pada pilihanraya umum 2004.
"Namun, ketika itu saya berhadapan dengan pelbagai rintangan lain yang terpaksa saya tangguhkan sehinggalah kini, Alhamdulliah, saya sempat memperkukuhkan institusi seperti kehakiman dan BPR, serta memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.
"Ini adalah penting bagi memperbetulkan persepsi bahawa institusi negara telah hilang kredibiliti," tegas Abdullah.