Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Musnah, rayuan Ali Rustam ditolak
Diterbitkan:  Mar 20, 2009 7:56 PM
Dikemaskini: 12:59 PM

dikemaskini 8.45pm Harapan Datuk Seri Mohd Ali Rustam untuk bertanding jawatan timbalan presiden Umno musnah apabila rayuannya ditolak oleh panel rayuan lembaga disiplin parti itu.

Panel tersebut yang bermesyuarat hari ini sebulat suara memutuskan untuk mengekalkan larangan terhadap Mohd Ali untuk bertanding selepas didapati bersalah terlibat dalam politik wang.

Pengerusi panel rayuan itu Tan Sri Mohd Zuki Kamaluddin yang mengumumkan perkara itu petang ini berkata keputusannya berkuatkuasa serta-merta.

Sebelumnya beliau dilaporkan berkata, pada kebiasaannya, keputusan panel rayuan akan diterima oleh Majlis Tertinggi (MT).

MT, yang akan turut disertai oleh Mohd Ali sebagai seorang naib presiden, dijadual bermesyuarat pada 25 Mac ini, sehari sebelum mesyuarat agung dan pengundian barisan pemimpin atasan Umno.

Sementara itu, Bernama memetik Mohd Zuki sebagai berkata rayuan Mohd Ali bertarikh 18 Mac lalu didengar hari ini dan menetapkan untuk mengekalkan keputusan lembaga disiplin selaras dengan Fasal

29 C Perlembagaan Umno.

"Rayuan yang dibuat Mohd Ali adalah hanya terhadap hukuman sahaja. Rayuan ini dipercepatkan untuk kepentingan Mohd Ali.

"Sekiranya panel rayuan menerimanya, maka Mohd Ali boleh bertanding dalam pemilihan minggu depan.

"Tetapi setelah ditimbangkan dengan teliti, rayuan beliau telah ditolak," beliau dipetik berkata dalam kenyataan lima perenggan yang diedarkan kepada pemberita di ibu pejabat Umno.

Selasa lalu, Lembaga Disiplin Umno mendapati Mohd Ali bersalah melanggar peraturan pemilihan Umno dan dilarang meneruskan pertandingan jawatan nombor dua itu.

Mohd Ali dihukum berdasarkan Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno yang membabitkan kesalahan pihak ketiga, iaitu ejen-ejennya terbabit dalam rasuah dan sogokan politik.

Ekoran itu, Mohd Ali bertanggungjawab terhadap tindakan tiga ejennya yang didapati bersalah melakukan rasuah dan sogokan politik.

Mereka ialah Saadun Basirun, Rosli Hasan dan Zalina Ismail.

Saadun dan Rosli adalah ahli jawatankuasa Umno bahagian Bukit Katil, manakala Zalina adalah naib ketua Puteri Umno bahagian sama.

Berikutan itu, ketiga-tiga mereka digantung keahlian selama satu penggal atau tiga tahun berkuatkuasa 12 Mac lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS