Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Status kelayakan Datuk Norza Zakaria untuk bertanding kerusi Majlis Tertinggi (MT) Umno akan diketahui Isnin ini selepas beliau didakwa di mahkamah atas kesalahan politik wang.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pihaknya sedang menyemak perkara itu.

Pada 13 Mac lalu, Norza dihadapkan di Mahkamah Majistret Temerloh atas dua tuduhan rasuah bagi mengekalkan jawatannya dalam MT.

Norza, yang juga ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, tidak mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 6.30 petang di No 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata kerana kes tersebut disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukan Lembaga Disiplin Umno, maka wujud kekeliruan berhubung kes tersebut.

Beliau memberitahu pemberita dalam satu sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini berhubung persediaan perhimpunan agung dan pemilihan Umno yang akan berlangsung dari 24 hingga 28 Mac ini.

Menurut Tengku Adnan lagi, SPRM juga telah meminta Lembaga Disiplin Umno untuk menyiasat kes tersebut.

"Jadi, ada kekeliruan... kita sedang menyemaknya...," kata beliau lagi.

Ditanya sama Norza ada menawarkan untuk menarik diri daripada bertanding, Tengku Adnan menjawab: "Tak ada".

Beberapa pihak mempertikaikan keputusan lembaga disiplin apabila melarang Datuk Seri Mohd Ali Rustam bertanding jawatan timbalan presiden setelah tiga ejennya didapati bersalah melakukan sogokan politik.

Keputusan terhadap naib presiden Umno itu dianggap berbeza dengan layanan terhadap Norza apabila lembaga disiplin parti tidak membuat sebarang keputusan kerana ia tidak menyiasat kes tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS