Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Niat jahat' minta Agong sekat Najib
Diterbitkan:  Mar 19, 2009 5:29 PM
Dikemaskini: 9:43 AM

Cadangan meminta Yang di-Pertuan Agong tidak melantik Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri baru "tidak bertanggungjawab dan berniat jahat", kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Naib presiden Umno itu berkata cadangan berkenaan jelas mahu menimbulkan kegelisahan di kalangan anggota Umno khasnya dan rakyat Malaysia amnya, lapor Bernama .

Muhyiddin mengulas kenyataan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim semalam meminta Istana Negara melantik pengganti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi daripada anggota parlimen yang boleh diterima rakyat.

Berucap pada satu majlis semalam, Zaid mempertikaikan Najib yang didakwa terpalit dengan pelbagai tuduhan kontroversi dan caranya mengambil alih Perak melemahkan institusi negara.

Muhyiddin dilaporkan berkata kenyataan Zaid itu jelas mencerminkan sikap sebenar Zaid yang "menangguk di air keruh" dan "gunting dalam lipatan".

"Saya juga dengan sekeras-kerasnya menafikan dakwaan Zaid kononnya pemilihan perdana menteri menjadi begitu genting sekarang ini.

"Proses peralihan kepimpinan Umno berjalan begitu lancar dan terbukti Najib telah mendapat kepercayaan besar bahagian Umno seluruh negara sebagai presiden Umno yang baru," beliau dipetik berkata dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin, juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri, berkata sudah termaktub dengan nyata dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan bahawa baginda hendaklah terlebih dahulu melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli dewan itu sebagai perdana menteri.

Menurut agensi berita itu lagi, beliau berkata pelantikan Najib untuk memimpin negara akan menyatupadukan rakyat yang sedang berhadapan kesukaran "disebabkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab seperti Zaid."

"Sehubungan itu saya ingin menasihati orang ramai dan anggota Umno agar tidak mudah terpengaruh dengan dakyah Zaid yang terang-terang berniat jahat, tidak bertanggungjawab dan meletakkan kepentingan dirinya mengatasi kepentingan negara," katanya.

ADS