kemaskini 4.03pm Polis mengharamkan ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin malam ini di Simpang, di pinggir kawasan Bukit Gantang yang bakal menghadapi pilihanraya kecil.
Dalam kenyataan kepada Bernama hari ini, polis memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyertai ceramah penasihat PKR bersama bekas menteri besar Perak itu dengan alasan ia tidak berpermit.
Ceramah yang bermula jam 9 malam dirancang diadakan di Jalan Kuala Kangsar, Simpang dekat Taiping.
Ketua polis daerah Taiping, ACP Raja Musa Raja Razak berkata ceramah tersebut tidak sesuai kerana tempat itu berdekatan dengan jalan utama dan boleh menjejaskan lalulintas dan keselamatan orang ramai.
Anwar, yang juga ketua pembangkang di Dewan Rakyat, dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen petang ini berkata "ia sering berlaku seperti itu."
Beliau akan tetap menghadiri majlis makan malam di situ, tambahnya.
Pilihanraya kecil kecil parlimen itu akan diadakan antara 29 Mac hingga 7 April dan Pakatan Rakyat akan diwakili oleh calon PAS.