Tiada unsur sabotaj dan kambing korban dalam tindakan Lembaga Disiplin Umno terhadap Datuk Seri Mohd Ali Rustam berhubung kesalahan politik wang, kata timbalan perdana menteri.
Datuk Seri Najib Razak, yang juga timbalan presiden Umno, berkata lembaga itu bertindak berdasarkan maklumat dan naib presiden itu tidak dijadikan kambing korban dalam usaha membanteras gejala rasuah, lapor Bernama .
"Kita tidak boleh persoalkan nawaitu (niat) lembaga disiplin dan perlu
memberi kepercayaan kepadanya sekiranya kita nak bersihkan Umno," katanya selepas melancarkan Kempen Perkhidmatan Elektronik Lembaga Hasil Dalam Negeri di Kementerian Kewangan.
Beliau diminta mengulas desas-desus anggota Umno mempersoalkan kredibiliti lembaga itu serta cakap-cakap politik kemungkinan wujudnya unsur sabotaj dan kambing korban dalam kes ketua menteri Melaka itu.
Mohd Ali didapati bersalah mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno kerana tiga ejennya mengamalkan politik wang.
Akibatnya, beliau dilarang bertanding merebut jawatan timbalan presiden dalam pemilihan Umno, minggu depan.
Menurut laporan agensi berita itu lagi, ditanya sama ada tindakan kerajaan mengekalkan Mohd Ali sebagai ketua menteri boleh memberi isyarat yang silap kepada orang ramai bahawa "seorang pemimpin korup" masih boleh menerajui kerajaan negeri, Najib berkata:
"Dia punya fakta berlainan sebab kerja-kerja (amalan politik wang) dilakukan oleh orang-orang tertentu. Sebab itu berdasarkan fakta lembaga disiplin buat keputusan dia boleh pegang jawatan (dalam parti)."
Mengulas kenyataan bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa rayuan mereka yang didapati bersalah oleh lembaga itu tidak perlu dilayan bagi membuktikan kesungguhan Umno membanteras gejala politik wang, Najib berkata Umno tidak boleh menafikan hak mereka untuk merayu.
Ditanya mengenai kekeliruan sebilangan anggota Umno bahawa terdapat anggota yang didakwa di mahkamah kerana kesalahan politik wang dan anggota yang didapati bersalah oleh lembaga itu hanya diberi amaran tetapi mereka masih boleh bertanding pada pemilihan minggu depan, Najib dilaporkan berkata:
"Itu pertimbangan lembaga disiplin. Ia badan bebas. Kita tidak campur tangan."
Naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dibenarkan bertanding merebut jawatan teratas pergerakan itu selepas diberikan amaran oleh lembaga disiplin.