dikemaskini Kongres Kebudayaan Melayu Ke-2 yang berlangsung selama dua hari, bermula hari ini, dijangka meluluskan sekurang-kurangnya empat resolusi penting esok, antara lain, menyentuh dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Empat resolusi tersebut dibincangkan di peringkat awal oleh panitia kongres tersebut.
Berhubung isu PPSMI, kongres menyifatkan dasar kontroversi tersebut seolah-olah "menjolok sarang tebuan" dan menyentuh kesucian Perlembagaan Persekutuan.
Ia tidak harus disentuh oleh mana-mana, pihak termasuk parti politik di Malaysia, kata ketua satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) Tan Sri Dr Ismail Hussein sewaktu majlis perasmian kongres petang ini.
Dalam masa yang sama, ia juga membuka peluang kepada pihak lain untuk mempertikaikan perlembagaan, tambahnya.
Beliau juga menegaskan, "ada sejuta cara" lain untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar Melayu, bukannya dengan memperkenalkan PPSMI.
Pertemuan bersejarah ini - yang disifatkan sebagai kesinambungan kongres pertama yang berlangsung di Melaka pada hujung 1957 - dijangka turut meluluskan usul untuk mempertahankan kemuliaan Raja-raja dan pihak istana Melayu.
Tentang multikulturalisme
Institusi kesultanan Melayu tersebut merupakan titik perpaduan seluruh bangsa dan titik pertemuan sejarah tanahair yang panjang, hujah Dr Ismail lagi.
Persidangan yang bertemakan "Di Mana Bumi Dipijak" juga dijangka meluluskan usul menentang keras gagasan multikulturalisme dan serta berpegang teguh kepada usul Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971, antara lain, yang menyatakan bahawa budaya Melayu haruslah menjadi teras kebudayaan Malaysia.
Perhimpunan itu dijangka akan meluluskan usul bahawa sejarah dan tamadun Melayu harus dilihat secara global iaitu ia tidak harus dikurung dalam konteks negara bangsa Malaysia sahaja.
Kongres ini yang berlangsung di Wisma Sejarah di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasianal Malaysia (Gapena), Persatuan Sejarah Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan berakhir tengah hari esok.
Upacara perasmian pembukaan konges tersebut disempurnakan oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.