Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Usul gantung Gobind isu Najib-Altantuya
Diterbitkan:  Mar 13, 2009 5:31 PM
Dikemaskini: Mar 16, 2009 5:44 AM

kemaskini 8.56pm Wakil BN bercadang menggantung tugas ahli parlimen DAP Gobind Singh Deo selama setahun kerana dianggap menghina dewan berhubung tuduhannya terhadap timbalan perdana menteri semalam.

Wakil rakyat Puchong semalam digantung sehari dari Dewan Rakyat selepas mendakwa Datuk Seri Najib Razak terlibat dalam pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Usul mengambil tindakan disiplin itu dimuatkan dalam aturan urusan mesyuarat dan usul-usul Parlimen untuk dibahaskan pada Isnin depan.

Jika dikenakan tindakan tersebut, Gobind "tidak akan dibayar kesemua bayaran elaun dan kemudahan sebagai seorang ahli parlimen" sepanjang tempoh tersebut.

Semalam, Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee mengarahkan Gobind keluar dari dewan selepas enggan berhenti membangkitkan isu pembunuhan wanita Mongolia itu ketika sesi membahaskan bajet mini.

Gobind, anak Pengerusi DAP Karpal Singh, pernah digantung tugas sebanyak dua kali - pada Jun dan November - tahun lalu.

Sebelum dikenakan tindakan itu, beliau bangun untuk bertanya soalan kepada Najib, yang juga menteri kewangan sebaik sahaja pemimpin Umno itu selesai menyampaikan penggulungannya.

Selain isu Altantuya, Gobind juga mempersoalkan tindakan berhubung kematian mengejut A Kugan dalam tahanan polis, Januari lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abd Aziz awal malam ini dilaporkan berkata usul itu akan dibentangkan jam 11.30 pagi menurut peraturan tetap dewan 27 (1).

"Dewan akan mengundi untuk memutuskannya selepas perbahasan itu," beliau dipetik berkata.

Teks lengkap usul seperti berikut:

1. Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan mencadangkan:

Bahawa pada 12 Mac 2009, Yang Berhormat Tuan Gobind Singh Deo, ahli parlimen kawasan Puchong semasa perbahasan peringkat

Jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mendakwa YAB timbalan perdana menteri, ahli parlimen kawasan Pekan terlibat dalam kes pembunuhan.

Bahawa Yang Berhormat ahli parlimen kawasan Puchong juga telah

mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menghina Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat setelah diperintah keluar Dewan.

Dan bahawa kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Yang Berhormat ahli parlimen kawasan Puchong adalah merupakan satu dakwaan yang sangat serius dan menyalahi hak dan keistimewaan sebagai ahli parlimen serta merupakan satu penghinaan kepada Dewan ini.

Maka inilah dipersetujui bahawa Yang Berhormat ahli parlimen

kawasan Puchong hendaklah digantung tugas dari jawatannya sebagai ahli parlimen selama dua belas (12) bulan dari tarikh keputusan usul ini diluluskan.

Dalam masa penggantungan ini Yang Berhormat ahli parlimen

kawasan Puchong tidak akan dibayar kesemua bayaran elaun dan

kemudahan sebagai seorang Ahli Parlimen.

ADS