kemaskini 8.40pm Perbahasan usul tergempar isu program Pejabat Pembangunan Negeri Selangor (PPNS) yang didakwa bertujuan menjatuhkan kerajaan Selangor menjadi bahan jenaka pemerhati, termasuk media, ekoran wakil-wakil Pakatan Rakyat dan BN sering membangkitkan peraturan mesyuarat.
Perkataan "minta laluan" dan "sangkaan jahat" lebih mendominasi perbahasan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) petang ini berbanding hujah-hujah kedua-dua pihak.
Usul Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) diterima speaker Teng Chang Kim hari ini berdasarkan fasal 17 (1) Peraturan-peraturan tetap dewan dengan alasan ia berkepentingan ramai dan perlu disegerakan.
Lau mendakwa penglibatan Majlis Keselematan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dalam program itu menimbulkan tanda tanya.
"Apakah peranan yang boleh dimainkan SPR dalam menjalankan program mesra rakyat? Apakah ada udang di sebalik batu?" katanya sewaktu mencadangkan usul ini bermula 2.30 petang.
Program PPNS, badan bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), didakwa cuba menjatuhkan kerajaan negeri.
Perbahasan usul itu mulai panas apabila Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa) mendakwa BN mahu memulihkan imej dan kredibilitinya - yang didakwa telah tercalar ekoran isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan pembelian kapal selam Scorpene - melalui program kemasyarakatan tersebut.
Bagaimanapun, Subahan Kamal (BN-Taman Templer) bangun dan berkata kenyataan itu merupakan "sangkaan jahat" menurut fasal 36(6) peraturan dewan dan kes itu juga masih dalam perbicaraan mahkamah.
Azmin sebelum itu melemparkan tuduhan "MCA budak suruhan Umno" kepada Yap Ee Wah (BN-Sungai Pelek) yang menyokong wakil rakyat BN itu bahawa SPR adalah bebas dan tidak terlibat dapat program PPNS bagi memenangkan BN dalam pilihanraya umum akan datang.
Ketika kedua-dua pihak saling cuba mencelah tanpa meminta keizinan Speaker DUN Teng Chang Kim, Azmin berkata "hendak kata bodoh tidak boleh".
Subahan sekali lagi bangun meminta Azmin menarik balik perkataan itu.
"(Seramai) 40,000 pengundi Taman Templer undi saya, takkan (saya) bodoh," katanya.
"Kalau saya bodoh, apa saya nak cakap pada mak saya?"
Belum sempat suasana tenang, Yap bangun mendakwa Azmin membuat "sangkaan jahat" dengan berkata "MCA budak suruhan Umno" sebelumnya.
Speaker bagaimanapun berkata perkara itu sudah lambat dibangkitkan dan "perbahasan sudah pun berlalu berbatu-batu".
Dalam perbahasan itu, Azmin mendakwa pelaksanaan program PPNS bercanggah dengan prinsip federalisme yang menggariskan kedaulatan kerajaan negeri di sisi kuasa kerajaan pusat.
Subahan pula berkata program itu hanya seperti karnival 'Jom Heboh' anjuran sebuah stesen televisyen swasta dan ia perkara biasa sebagai kumpulan politik yang hendak mengambil alih kembali Selangor daripada Pakatan Rakyat.
Saari Sungib (PAS-Hulu Kelang) pula menyifatkan pelaksanaan program PPNS tersebut sebagai berniat tidak baik terhadap Selangor dan satu bentuk konspirasi menggunakan Jabatan Kemajuan dan Keselamatan Kampung Pusat (JKKKP), agensi-agensi kerajaan dan NGO tertentu yang ditaja oleh kerajaan pusat.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau akan menulis surat kepada Ketua Setiausaha Negara bagi mendapatkan penjelasan sekiranya ada kakitangan kerajaan negeri itu yang terlibat dalam program tersebut.
Perbahasan usul ini memakan masa selama dua jam sebelum dewan meneruskan perbahasan titah diraja sehingga 7.15 malam.
Dewan bersambung semula jam 8 malam ini.