Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Joseph Kurup kekal MP Pensiangan
Diterbitkan:  Mar 13, 2009 10:35 AM
Dikemaskini: 10:09 AM

Tan Sri Joseph Kurup kekal sebagai ahli Parlimen Pensiangan selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah Pilihanraya September lalu mengisytiharkan keputusan pilihanraya bagi kerusi tersebut batal dan tidak sah.

Bagaimanapun, pindaan pada undang-undang pilihanraya membolehkan Kurup - timbalan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah - yang juga timbalan mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Petisyen itu difail oleh calon PKR, Danny Anthony Andipai, yang juga calon bagi kerusi tersebut.

Beliau menamakan Kurup, pegawai pengurus pilihanraya Bubudan OT Majalu dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebagai responden.

Kurup menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon pada 24 Februari tahun lalu apabila keras pencalonan Andipai ditolak kerana diserahkan selepas jam 10 pagi (masa tamat penyerahan borang).

Mahkamah Persekutuan, yang membenarkan rayuan Kurup terhadap pembatalan kemenangannya itu, menetapkan bahawa seseorang calon yang hendak bertanding dalam pilihanraya bertanggungjawab terhadap kertas pencalonan masing-masing dan seharusnya patuh kepada tempoh masanya.

Oleh itu, lapor Bernama, bukan menjadi tanggungjawab pegawai pengurus pilihanraya terhadap kertas pencalonan calon, kata Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nik Hashim Nik Abdul Rahman yang membacakan keputusan yang dibuat oleh panel tiga hakim itu.

Panel hakim

Hakim itu berkata dalam kes ini, pegawai pengurus pilihanraya berkenaan telah melaksanakan tugasnya dengan baik mengikut undang-undang.

Dalam satu kes lain, mahkamah persekutuan menolak rayuan seorang pengundi bagi membatalkan keputusan Mahkamah Pilihanraya yang mengetepikan petisyennya mencabar kemenangan calon Barisan Nasional Datuk Dr Yee Moh Chai sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri Sabah kawasan Api Api juga dalam pilihanraya umum 8 Mac tahun lalu.

Dr Yee, yang merupakan Menteri Pembangunan Sumber Sabah dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah, menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat, Christina Liew, dengan kelebihan 174 undi.

Petisyen itu difailkan oleh Audrey Karen Barry yang mendakwa wujud unsur rasuah atau ugutan am oleh Dr Yee atau ejen-ejen beliau, termasuk mencetak dan menyebarkan risalah mengandungi kenyataan palsu dan hasutan.

Pada 12 Februari lalu, panel Mahkamah Persekutuan terdiri Nik Hashim, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff dan Datuk Arifin Zakaria, mendengar penghujahan daripada kedua-dua pihak dan menangguhkan sehingga hari ini untuk mengumumkan keputusan.

Kurup lega

"Saya rasa amat lega. Selepas Mahkamah Pilihanraya membatalkan kemenangan saya sebagai ahli Parlimen Pensiangan, saya tidak dapat melakukan sebarang tanggungjawab sebagai ahli Parlimen," kata Kurup.

"Tetapi saya amat berterima kasih kerana kedaulatan undang-undang telahpun dilaksanakan dan saya diberi peluang untuk membuat rayuan," katanya kepada pemberita di luar mahkamah.

Kurup berkata, beliau kini boleh memberi tumpuan membantu penduduk Pensiangan di mana kadar kemiskinan adalah tertinggi di Sabah.

Kurup juga percaya calon BN akan memenangi pilihan raya kecil di Bukit Gantang, Perak dan Bukit Selambau, Kedah dan Batang Ai di Sarawak pada 7 April ini berikutan kemenangannya dalam rayuan tersebut.

Sementara itu, calon PKR Danny Anthony Andipai, yang memfailkan petisyen pilihanraya itu terhadap Kurup, berpendapat penghakiman Mahkamah Persekutuan tidak memberi keadilan kepadanya.

"Kami akan jumpa lagi pada pilihan raya umum akan datang. Saya akan cabar beliau (Kurup)," katanya.

Kurup memenangi kerusi itu pada hari penamaan calon selepas pengurus pilihanraya menolak kertas pencalonan Danny dan seorang lagi calon.

Andipai kemudian mengemukakan petisyen bagi membatalkan keputusan itu dengan menamakan Kurup dan pengurus pilihan raya berkenaan, Bubudan OT Majalu, sebagai responden.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS