Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP minta Zahid tunggu keputusan mahkamah
Diterbitkan:  Mar 11, 2009 3:02 PM
Dikemaskini: 9:09 AM

DAP meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya mengkaji semula keputusannya mendesak semua kerajaan negeri mewartakan larangan penggunaan perkataan "Allah" dalam mana-mana penerbitan bukan Islam.

"Adalah lebih baik jika menteri itu menunggu keputusan Mahkamah Tinggi berhubung perkara itu sebelum membuat sebarang tindakan yang akan hanya mengeruhkan lagi hubungan harmoni rakyat Malaysia," kata Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Zahid Hamidi telah dilaporkan sebagai berkata bahawa beliau mahu negeri-negeri yang tidak mempunya raja iaitu Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak turut mewartakan larangan tersebut.

herald the catholic weekly online 241207 Akhbar Herald telah mengemukakan tuntutan di mahkamah untuk membolehkannya menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitannya, dan kini sedang menanti keputusan mahkamah.

"Kita tahu sebelum ini Kementerian Dalam Negeri telah pun mengeluarkan warta membenarkan pengunaan perkataan "Allah" dalam penerbitan agama selain Islam pada 16 Februari lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Tetapi pewartaan perintah itu kemudiannya dibatalkan melalui pengumuman yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar yang megakui berlaku kesilapan dalam memberi kebenaran itu.

"Syed Hamid juga berkata larangan menggunakan perkataan "Allah" kekal sehingga Mahkamah Tinggi membuat keputusannya," tegas Tunku Abdul Aziz.

ahmad zahid hamidi Sehubungan itu, katanya, DAP merasakan tidak adil bagi Zahid Hamidi untuk memaksa negeri-negeri mewartakan larangan itu tanpa mempedulikan keputusan mahkamah.

"Kita juga berharap Zahid Hamidi dan para pemimpin Umno tidak menggunakan isu sensitif ini semata-mata untuk tujuan merebut jawatan dalam pertandingan parti pada akhir bulan Mac ini.

"Mereka harus bertanggungjawab terhadap keharmonian negara dan hak asasi rakyat di Malaysia.

"Yang penting untuk kita ialah menerima hakikat bahawa Malaysia adalah negara di mana kita berkongsi hidup dan tidak ada sesiapa pun patut menganggap dirinya lebih tinggi darjat atau kedudukan dari orang lain," tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS