Setelah sekian lama menyepi, akhirnya Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) muncul semula ke arena pilihanraya kampus.
Setelah hampir sepuluh tahun sejak mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat, PKPIM mula memencilkan diri dalam arena politik kampus, lebih-lebih lagi di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
Sepanjang tempoh itu juga, PKPIM lebih banyak menaja dan berkerjasama dengan pihak yang dirasakan mampu memberi kredit kepada mereka - tidak kira dari kumpulan pro-Aspirasi mahupun pro-Mahasiswa, GPMS-Wawasan mahupun We Unite For Islam (WUFI) - mereka telah melalui kedua-duanya.
Penglibatan PKPIM dalam gerakan mahasiswa di luar juga dapat dilihat dengan penglibatan mereka dalam Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM). Dalam masa yang sama, PKPIM turut terlibat dengan pro-Aspirasi di peringkat nasional.
Kemunculan PKPIM pada kali ini sememangnya sudah dapat dijangkakan. Beberapa tahun kebelakangan ini, PKPIM telah menghantar calon-calon tajaan dan ahli mereka untuk bertanding kerusi dalam pilihanraya kampus. Sama ada secara zahir atau tidak, itu terpulang.
Bantahan PKPIM terhadap penggunaan label "pro-Mahasiswa" dan "pro-Asporasi" yang dibuat adalah suatu langkah terdesak mereka setelah lama menyepi dari arena politik kampus. Ia dilihat melanggar apa yang dipersetujui.
Pro-Mahasiswa digagaskan sebagai alternatif kepada Pro-Aspirasi yang menguasai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di kampus-kampus utama pada hari ini. Jadi, inisiatif persatuan-persatuan yang bernaung bawah SMM menggunakan jenama pro-Mahasiswa adalah wajar.
Langkah PKPIM membantah penggunaan label pro-Mahasiswa di UIA bertujuan mencari laluan kepada kemunculan kembali persatuan itu dalam pilihanraya kampus kali ini.
Persoalannya, mengapa tidak ada sebarang perbincangan dimulakan berhubung perkara ini bersama pihak berkaitan, terutamanya WUFI sebagai wakil Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS) yang menjadi tunggak kepada SMM. Adakah PKPIM cuba menangguk di air yang keruh?
PKPIM kali ini hanya menghantar calon di beberapa kerusi kulliyyah (fakulti) sahaja. Kulliyyah sasaran mereka adalah Kulliyyah Ekonomi dan Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim.
Sebagai pemerhati situasi politik kampus, saya berpendapat tindakan membantah penggunaan label pro-Mahasiswa dan pro-Aspirasi sebagai tindakan terdesak bagi orang yang ingin kembali semula.
PKPIM seolah-olah cuba menidakkan usaha SMM yang menjenamakan "pro-Mahasiswa" dan meletakkan risiko yang agak tinggi ketika mempertaruhkan calon mereka atas tiket itu.
Perbincangan dan tahalluf (kerjasama) pada ketika ini boleh menjadi tindakan yang tepat atau sebaliknya. Apa yang pasti, pro-Aspirasi telah ada perancangan mereka yang tersendiri. Semuanya hanya menunggu masa untuk dilaksanakan.
Adakah PKPIM sudah fikir semasak-masaknya? Ataupun mereka telah ada perjanjian bersama pro-Aspirasi tentang pembahagian kerusi? Atau PKPIM ingin mengambil peluang membina kembali nama mereka setelah tsunami politik dalam pilihanraya umum 8 Mac berlalu?
Jika dilihat daripada sumbangan mahasiswanya, kumpulan pro-Mahasiswa yang lebih sekerat nyawa membantu. Fikir-fikirkanlah.