Suasana kecoh dalam politik negara hasil daripada keputusan pilihanraya umum Mac lalu nampaknya belum reda-reda lagi. Mutakhir, semua tertumpu kepada isu muqabalah atau pertemuan bersemuka beberapa pimpinan PAS dengan Umno.
Tentunya beberapa isu besar yang sedang dan telah menyenakkan minda pemimpin politik khususnya Umno dan rakyat secara amnya tenggelam akibat cetusan terbaru ini.
Siapakah yang memulakannya dan apakah tujuannya? Barangkali beberapa persoalan perlu dijawab sebelum pergi lebih jauh.
Pakatan Rakyat yang masih di awal penubuhannya laksana satu perkahwinan dalam Islam yang proses taarufnya (perkenalan) baru ingin dipanjangkan di saat segalanya kelihatan manis.
Hatta darah yang hanyir itu dikatakan manis. Dengan sikap dan sifat manusia yang dijadikan pelbagai, apatah lagi kefahaman dan anutan yang berbeza, pasti segalanya tidak semudah yang disangka.
Malah sudah pasti ada permintaan dan tuntutan yang berbeza. PAS dengan hudud dan negara Islamnya, manakala DAP dan PKR dengan tuntutan yang mengikut acuan mereka.
Apakah dengan beberapa permintaan dan tuntutan individu itu, segalanya sudah dikira berakhir?
Sebagai ahli PAS, walaupun baru setahun jagung, saya berpendapat sangat tidak adil kita mengkesampingkan satu cita-cita malah peluang yang diberi oleh rakyat sekadar untuk diperkudakan oleh beberapa ekor kuda liar.
Rakyat yang menuntut satu perubahan besar akibat hidup yang semakin terhimpit, dan kemualan akibat keegoan pemimpin mengharapkan satu sinar baru tercetus daripada kepercayaan yang diberi.
Mereka memerlukan pembelaan; mereka tidak berhajat politik balas-membalas komen antara pimpinan Pakatan Rakyat. Tidak pula mereka ingin mendengar pujian, kejian serta sindiran dalam kalangan ahli politik.
Namun sekiranya ini berterusan, saya menyeru semua ahli dan pimpinan PAS serta Pakatan Rakyat bersedia untuk pilihanraya semula.
Dan kita sudah boleh mengagak apa keputusannya nanti sekiranya sesetengah kita masih diulit mimpi kesenangan dan kemewahan yang disaji oleh Umno atas nama perpaduan.
No. 48, Jalan Kemuja, Bangsar Utama 59000 Kuala Lumpur, Malaysia.
Tel: 03-2284 3367 (Advertising/Tech/Subscription) | 03-2283 5567 (Editorial) Malaysiakini.com is not responsible for the content of external internet sites