Debat bersejarah antara menteri penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertajuk "Hari ini bentuk kerajaan, esok turun harga minyak" ternyata mendapat tumpuan rakyat Malaysia.
Rakyat ternyata dahagakan maklumat dan ilmu dari perspektif yang berbeza untuk dibuat penilaian dan perbandingan lantas memilih sesuatu yang tepat dan dianggap kebenaran.
Debat bukanlah untuk mencari siapa yang menang dan siapa yang kalah. Debat sebenarnya untuk mencari kebenaran dan kebenaran itulah pemenangnya bukannya kepalsuan.
Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) menyokong penuh usaha murni mengadakan program ilmu seperti debat ini dan menyeru semua pihak khususnya pihak pentadbiran universiti agar memberi ruang secukupnya buat mahasiswa di universiti untuk menggilap potensi dan bakat mereka dalam kemahiran berdebat ini.
Kemahiran debat jika dilatih mampu melahirkan mahasiswa yang mempunyai tahap pemikiran dan keintelektualan yang tinggi, berani mengemukakan hujah dan fakta dengan yakin serta mampu memupuk budaya ilmu di kalangan mahasiswa.
Majlis ilmu seperti debat, wacana ilmu, forum, diskusi buku dan lain-lain yang menampilkan mahasiswa sendiri sebagai pembicara perlulah digalakkan di kampus-kampus universiti dalam usaha melahirkan mahasiswa yang berkualiti yang mampu meneruskan kesinambungan pemimpin kini pada masa akan datang.
Wan Mohamad Wasif Wan Mohamad adalah yang dipertua Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM)