Semasa BN berkuasa di Selangor, kegiatan judi melalui permainan video dan kafe siber kelihatan di sana-sini.
Kami rakyat biasa kenalah rajin membuat aduan, barulah pihak berkuasa mengambil tindakan.
Kalaulah Yang Berhomat kawasan tersebut dan ahli majlis (pihak berkuasa tempatan) menyokong dan berkerjsama, masalah sosial ini masih boleh diselesaikan walaupun ia memerlukan inisiatif penduduk tempatan sendiri.
Tetapi sejak 8 Mac, keadaan sudah tidak sama lagi. Kegiatan- kegiatan haram ini tumbuh bagai cendawan selepas hujan.
Ke mana harus kami mengadu? Sudah panjang leher kami menjenguk, ahli-ahli majlis entah ke mana, tidak nampak-nampak lagi. YB yang dipilih pula melihat tetapi tidak nampak masalah yang dihadapi oleh kami.
Puas kami menunggu, barulah dapat satu peluang untuk berjumpa dengan seorang wakil rakyat yang juga ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco).
Tetapi sakit hati pula kami apabila diberitahu oleh YB berkenaan bahawa beliau tidak dapat berbuat apa-apa dalam masalah ini kerana kuasa menangkap mereka yang terlibat dan menutup premis-premis kegiatan haram ini bawah tanggungjawab polis dan pihak berkuasa tempatan.
Jadi, anggota exco negeri sendiri tidak berkuasa?
Jadi, siapa yang berkuasa? Puaslah saya merenung kembali jawapan YB tersebut dan tertanya-tanya di hati saya yang sakit ini: "YB tidak berkuasa atau tidak kuasa hendak bereskan aduan ini"?
Hancur harapan kami yang selama ini mengharapkan kerajaan baru ini akan lebih efektif. Rupa-rupanya tidak.
Dulu semasa pentadbiran BN, orang kata banyak perkara yang sepatutnya tidak boleh telah diboleh-bolehkan.
Sebab itulah pembangkang pada masa itu menghentam kerajaan negeri kuat-kuat mengenai perkara yang telah diboleh-bolehkan.
Tetapi apa sudah jadi sekarang? Judi haram boleh, penjaja haram boleh, kafe siber boleh, membuang sampah merata-rata boleh, dan macam-macam hal lagi.
Adakah semua ini yang ingin ditunjukkan oleh kerajaan baru bahawa mereka lebih "Boleh"?