Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebagai seorang manusia biasa dan juga pengguna, perdana menteri kita Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah tentu berasa sangat gundah gulana untuk menaikkan harga minyak.

Pengumunan yang dibuat tentunya dengan penuh kesugulan memikirkan tekanan hidup yang perlu dilalui rakyat jelata. Secara lojiknya, setelah BN kalah teruk pada pilihanraya yang lepas, tentulah kerajaan akan mengumumkan langkah-langkah yang boleh memikat hati rakyat.

Tetapi perdana menteri tidak dapat berbuat begitu. Langkah menaikkan harga minyak pasti membangkitkan kemarahan rakyat. Sudah tentunya ada faktor kuat yang menyebabkan perdana menteri kita terpaksa mengambil langkah yang tidak popular ini.

Maka berkokoklah pihak-pihak yang mahu mengambil kesempatan. Ada bekas pemimpin yang dulunya tegas melaungkan kerajaan tidak boleh menurunkan harga minyak, tetapi sekarang berkata kerajaan mampu menampung subsidi minyak.

Walhal mereka tahu kebelakangan ini harga minyak melambung berlipat kali ganda. Pihak pembangkang pula bersorak seperti hilang akalnya, menyalahkan polisi kerajaan.

Padahal, mereka lupa janji yang mereka tabur ketika pilihanraya umum belum tentu dapat dikotakan. Badan bukan kerajaan, kononnya "gabungan anti inflasi" menunjukkan mereka kurang matang apabila mengajak rakyat membuang masa dengan berdemonstrasi tidak tentu hala.

Entah bila demonstrasi menjadi budaya bangsa.

Betapa hairan dalam dunia teknologi informasi ini, mereka seolah-olah buta dan tuli, katak di bawah tempurung, tidak dapat maklumat dari negara jiran.

Tidakkah mereka tahu kenaikan berlaku di seluruh dunia? Dalam jangka kurang setahun saja, polisi berkenaan minyak dan tenaga telah banyak berubah.

Negara yang terpaksa mengubah polisi mereka termasuklah Indonesia, Thailand, China, Taiwan, Bangladesh, Sri Lanka, Iran, Ghana, Mesir, Jordan, Syria. Perancis, Colombia, Peru, Chile.

Perubahan ini tidak termasuk negara-negara lain yang bakal mengumumkan polisi baru dalam jangka waktu tedekat. Ia dengan jelas menunjukkan kenaikan minyak adalah fenomena global yang tidak dapat dielakkan.

Demonstrasi membantah kenaikkan harga minyak juga telah berlaku seluruh dunia. Pada Ogos 2007 di Myanmar, Januari di Nepal, Februari di India dan Honduras, April di Iceland dan Amerika Syarikat, Mei di Perancis, United Kingdom, Sepanyol, Bulgaria dan Indonesia.

Tetapi tiada satu pun yang dapat menurunkan atau menyekat kenaikan harga minyak. Jika rakyat negara kita juga berdemonstrasi, ini menunjukkan kurang matangnya kita.

Malah ia menurunkan produktiviti negara dan mewujudkan huru-hara. Bukankah lebih elok jika segala tenaga, buah fikiran yang bermacam itu disatukan untuk mencari jalan bagi menghadapi krisis ini.

Janganlah kita mengikut perasaan semata-mata. Ia akan membuatkan kita kurang peka dengan masalah sebenar.

Kepada yang berkemampuan, bertenanglah tiada apa yang perlu dirisaukan. Kepada yang kurang berkemampuan, sabarlah, ini satu ujian. Pasti kerajaan akan membela nasib kalian. Kepada mereka yang ingin mengambil peluang, jangan menangguk di air keruh.

Pemimpin-pemimpin seluruh dunia perlu bertemu dan membincangkan perkara ini. Adakah kenaikan harga minyak yang mendadak kerana faktor penawaran-permintaan semata-mata? Atau kerana spekulasi pasaran?

Yang nyata di Amerika Syarikat, Suruhanjaya Niaga Pasaran Hadapan Komoditi (Commodity Futures Trading Commission) menyatakan kenaikan minyak berpunca daripada spekulasi pasaran.

Jika begitu, langkah dan peraturan boleh diperkenalkan untuk mengawal harga pasaran. Semoga tindakan pantas dapat diambil bagi mengendurkan kegusaran rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS