Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kenaikan harga bahan api sebanyak RM0.78 seliter untuk petrol dan RM1.00 seliter untuk diesel teramat membebankan rakyat.

Wahai pemimpin yang arif lagi bijaksana, tidakkah terfikir Tan Sri, Datuk sekalian bahawa kenaikan ini akan membawa satu lagi tsunami kenaikan harga barangan yang begitu mendadak seumpama menjerut tali di leher rakyat sendiri.

Sememangnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna gah mendabik dada dengan mengatakan akan memantau kenaikan harga barang dan menguatkuasakan undang-undang walhal menterinya membayangkan kenaikan harga bahan api akan berlaku pada bulan Ogos.

Sekali lagi rakyat tertipu oleh pemimpin yang dipilih oleh rakyat untuk menjaga kepentingan rakyat.

Tetapi, sejauh manakah keberkesanan penguatkuasaan ini menjadi satu persoalan dan tanda tanya bagi golongan rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Adalah wajar sekiranya kerajaan dapat mendedahkan fakta yang kalkulatif tentang subsidi ini daripada mendedahkan fakta yang terlalu umum untuk golongan marhaen menafsirkannya.

Walaupun kerajaan akan membayar balik rebet tunai sewaktu pembaharuan cukai jalan, tetapi tsunami kenaikan harga barangan yang bakal berlaku pasti melampaui jumlah rebet yang hanya diperolehi secara tahunan.

Wahai pemimpin yang arif lagi bijaksana, ketika lebih kurang sejuta kakitangan kerajaan bersyukur dengan kenaikan gaji dan pembayaran bonus, terdapat berjuta-juta lagi kakitangan swasta, usahawan kecil dan sederhana yang merintih dan mengeluh dengan kenaikan harga bahan api ini.

Mereka hanya mampu berdoa agar dikurniakan pemimpin yang bersifat mulia seperti khalifah Umar al-Khattab yang mengerti dan mendalami akan kesusahan rakyat jelata.

Terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang memberi hadiah yang begitu "bermakna" selepas pilihanraya umum ke-12 kepada golongan rakyat yang setia mengundi kerajaan Barisan Nasional.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS