Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang mufti kagum pada karya seorang sasterawan. Mufti itu Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dan sasterawan itu pula Faisal Tehrani.

Namun, masing-masing ditohmah. Mufti itu ditohmah Wahhabi. Dan sasterawan itu pula ditohmah Syiah. Tetapi, masing-masing juga menafikan.

Hari ini, buruknya agama telah disumbat dalam dua aliran: Wahhabi dan Syiah. Kasihan. Siapa yang telah menang?

Jelas, tiada siapa yang menang. Malah, kedua-duanya barangkali telah lama kalah. Wahhabi dan Syiah adalah lambang kepada sebuah pertarungan panjang yang tidak pernah selesai. Tiada kesudahan.

Nah, saksikan saja, sudah berapa ramai yang gugur kerana kerasnya pertarungan mereka. Dari Najd hingga Kufah, darah tidak pernah berhenti mengalir atas nama kebenaran mazhab.

Kini, rupa-rupanya masih ada yang mahu membuka medan. Ada yang mahu bertempur di rantau baru, yang jauh dari Hijaz? Malah, tekad mahu menarik pengaruh.

Tetapi kita semacam alpa. Di saat zaman berubah, nampaknya benak kita tetap sama. Kita langsung tidak berubah.

Hari ini, mari kita buat satu keputusan. Kita tegas untuk tidak bersimpati pada Wahhabi, mahupun pada Syiah.

Di mata kita, dua-duanya tidak lebih besar, atau lebih agung daripada nilai-nilai yang kita bina dalam diri kita.

Kita mahu sebuah nilai yang memartabatkan rasa manusiawi kita, bukannya sebuah nilai yang masing-masing mahu memiliki kalimah sesat dan menyesatkan.

Ummah sudah penat. Ummah sudah tidak larat. Apakah salah jika diizinkan ummah untuk mengejar kemanusiaan pula, setelah lama kita bertarung atas nama 'ketauhidan.'

Kerana, apalah gunanya sebuah tauhid, jika ia diperoleh atas merahan darah. Meraih kemutlakan tidak bererti kita menang. Tetapi, itulah tanda pertama sebuah kekalahan.

"Mungkin inilah padahnya menjadi muslim." Begitu agaknya Richard Dawkins menyindir.

ADS