Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Barisan Nasional mengalami kekalahan yang paling teruk dalam sejarah pilihanraya negara pada 8 Mac lepas.

Namun jelas sekali pemimpin BN, khususnya daripada Umno, masih bersikap seolah-olah institusi perundangan dan keselamatan negara iaitu polis dan Jabatan Peguam Negara wujud untuk memenuhi aspirasi politik mereka.

Amat mengecewakan apabila rakyat dianggap bebal dan tidak nampak akan penganiayaan yang dilakukan pemimpin Umno terhadap institusi kerajaan yang seharusnya senantiasa mengamalkan pendirian yang berkecuali.

Salah satu ciri yang perlu ada pada seseorang pemimpin yang adil ialah dia seharusnya bebas daripada bersikap munafik. Tetapi sudah menjadi naluri pemimpin Umno untuk bersikap sedemikian.

Sikap munafik ini jelas kelihatan baru-baru ini apabila kenyataan pengerusi DAP berhubung pertukaran seorang pekerja kerajaan negeri sengaja dipolitikkan oleh Umno.

Karpal Singh mengutarakan pandangan beliau dari sudut perundangan. Apa beza kenyataan Karpal daripada pandangan Zaid Ibrahim seperti yang dilaporkan di New Straits Times semasa pemilihan menteri besar Terengganu?

Zaid dilaporkan berkata, " It's important for everyone, including the monarch, to respect the law, and in this case the law is quite clear ."

Beliau juga dilaporkan berkata: " The discretion of the monarch in appointing the menteri besar is not an absolute personal discretion ."

Berkaitan isu yang sama perdana menteri dilaporkan di The Star (24 Mac 2008) menyatakan " appointing anyone else is against the constitution " menjelaskan isu perebutan menteri besar negeri itu antara Idris Jusoh dan Ahmad Said.

Apakah kenyataan Zaid dan Abdullah Ahmad Badawi di atas tidak wajar mengundang laporan polis bawah Akta Hasutan?

Lebih mengecewakan, demonstrasi yang diadakan di Terengganu oleh penyokong ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno mendesak supaya Idris dilantik semula sebagai MB.

Kain rentang yang dikibarkan ahli Umno, antaranya, bertulis "kami nak Idris, natang" (kami mahu Idris, binatang). Siapakah yang dirujuk sebagai "natang"? Apakah kesudahan laporan polis yang dibuat Pakatan Rakyat terhadap 22 Adun BN Terengganu berikutan insiden tersebut?

Mengapa kenyataan Karpal yang merupakan isu perundangan diputarbelitkan sehingga menjadi isu perkauman? Apakah warganegara bukan Melayu tidak mempunyai ketaatan kepada Raja-raja Melayu?

Amat ketara bahawa Umno, yang sarat dengan pemimpin double standard yang sanggup menggadaikan ketenteraman awam dan memainkan sentimen rakyat, tidak layak menerajui kepimpinan negara tercinta kita.

Umno telah berkali-kali membuktikan bahawa ia bersedia menggunakan institusi raja untuk berpolitik semata-mata untuk melanjutkan agenda perkaumannya.

Adalah wajar aduan polis dibuat terhadap kesemua 10 individu yang membuat laporan polis terhadap Karpal dan mereka harus dikenakan hukuman bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana menghasut orang Melayu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS