Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sahabat Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Johor berdukacita dengan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan surat menolak pembaharuan permit penerbitan akhbar Makkal Osai .

Yang membingungkan, KDN tidak mengemukakan sebarang alasan yang munasabah atas penolakan pembaharuan permit penerbitan tersebut.

Akhbar itu menjadi media pertama dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa sejak berakhir pilihanraya umum ke-12.

Tindakan KDN itu menunjukkan pihak berkuasa tidak mempedulikan isyarat yang diberikan oleh rakyat kepada kerajaan.

Sepanjang masa ini, kebebasan bersuara sering dijadikan sasaran serangan pihak berkuasa. Misalnya kebelakangan ini, kes video klip Namewee, tulisan di blog Nathaniel Tan dan beberapa lagi penulis blog.

Mereka diugut pihak berkuasa menggunakan Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan juga Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan undang-undang lain yang kejam.

Perdana menteri sekarang Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah menggunakan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak untuk menghentikan penerbitan surat khabar berbahasa Inggeris, Sarawak Tribune , dan menarik balik permit penerbitan Guang Ming Daily (edisi petang) selama dua minggu serta Makkal Osai selama satu bulan.

Selain itu, KDN sering mengarahkan pihak media mengabaikan liputan mengenai bantahan kenaikan harga petrol, larangan memuat turun artikel dari blog, larangan membincangkan isu hubungan antara agama (forum Artikel 11) dan banyak lagi.

Begiinilah cara tidak bermoral yang digunakan pihak berkuasa untuk menghancurkan kebebasan bersuara.

Kami membantah pihak berkuasa yang menindas media dan kebebasan bersuara. Rakyat mempunyai hak menggunakan pelbagai saluran untuk mengetahui perkembangan negara kita.

Media massa arus perdana merangkumi lebih dari 80 hingga 90 peratus pembaca di seluruh negara, maka ia memainkan peranan penting mengawasi kerajaan kita.

Kerajaan tidak seharusnya mengganggu operasi media massa, sebaliknya haruslah mendengar suara rakyat, dan bukannya menindas media dan kebebasan bersuara.

Kami berpendapat bahawa kebebasan bersuara dan kebebasan membuat liputan merupakan syarat penting untuk memajukan politik, masyarakat serta ekonomi.

Kerap kali pihak berkuasa campur tangan dan menekan pihak media - keadaan ini telah menjejaskan kerja membanteras rasuah dan juga memburukkan lagi imej kerajaan.

Sekiranya industri media dikongkong oleh kuasa politik, ia akan menonjolkan monopoli penguasaan kerajaan serta menambahkan kebencian rakyat terhadapnya.

Sahabat Suaram Johor menyeru pihak berkuasa menghapuskan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, Akta Hasutan, OSA, ISA dan akta kejam lain-lain.

Low Meng Leong adalah pengerusi Sahabat SUARAM Johor


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS