Most Read
Most Commented
Read more like this

Setiap kali perintah pengharaman buku dikeluarkan oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN), ia tidak pernah disertakan dengan satu ulasan sebab yang kukuh. Kebelakangan ini, yang ada cuma alasan pendek – 'kandungannya boleh memesong akidah' atau 'tidak selari dengan ajaran Islam' – sekurang-kurangnya kerap begitu bunyinya.

Dulu, sewaktu Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2006, saya terpandang buku The Prophet , tulisan Kahlil Gibran, di ruang pameran KDN, yang diklasifikasikan 'haram'. Saya bertanya kepada pegawai yang bertugas mengapa ia diharam. Soalan seperti apa yang dituliskan oleh Gibran' dan 'di bahagian mana dia mencatatkan perkara tersebut sehingga sampai ke peringkat haram ini', tidak mampu dijawab dengan meyakinkan. Ada jawapannya "tak tahu".

Perkara sama juga berlaku baru-baru ini apabila KDN mengumumkan 11 lagi judul buku (yang semuanya berkaitan Islam) yang diwarta untuk diharamkan. Antara masalah yang timbul ialah sampai ke tahap manakah harus ditentukan apa yang patut orang ramai baca dan apa yang tidak? Tindakan pengharaman ini adalah langkah keterbelakang di sebuah negara yang dilihat maju fizikalnya seperti Malaysia.

Ia juga adalah petunjuk bahawa ada golongan di negara ini yang bersikap anti-intelektualisme dan mahu mengepung minda masyarakat dengan perkara yang remeh saja. Ia juga, dari satu sudut, seolah-olah memperlekeh kemampuan anggota masyarakatnya untuk menjadi lebih mandiri, yakin dan mampu berdepan atau mengikuti dengan lebih dekat, pergolakan debat yang rancak mengambil tempat di peringkat dunia global.

Jika ada buku-buku yang dikenal pasti menyeleweng – contohnya - saya tidak rasa ia perlu diharamkan terus. Tanggungjawab selepas itu adalah pada mereka yang merasakan 'ancaman' berkenaan untuk menjelaskan pandangan atau membalas hujah itu secara berilmu. Projek mengharamkan buku ini hanya menunjukkan sifat 'kalah' mereka kerana tidak mampu berdepan dan menjawab perbincangan yang diajukan di dalam buku-buku berkenaan. Adakah maksudnya itu Malaysia kini sudah ketandusan ilmuwan yang besar jiwanya dan hanya tinggal 'pendekar yang tak pandai berpencak'?

Seharusnya khalayak yang ada hari ini diberikan peluang untuk berkecenderungan menggunakan akal dan terlibat secara langsung dalam proses dan budaya ilmiah yang telah lama mati.

Sebelas buku yang baru diharamkan itu pastinya akan mendapat populariti melonjak. Khalayak pembacanya juga barangkali berkembang. Dan KDN seperti biasa, hanya melaungkan pengharamannya tanpa ada sebarang penjelasan bernas


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS