Semasa hadir pada sesi taklimat untuk kemasukan anak saya ke tahun satu di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Pulai, Daerah Kulai, Johor baru-baru ini, setiap ibubapa telah diedarkan senarai nama murid tahun satu.
Saya perhatikan, dari sejumlah lebih kurang 300 nama murid tahun satu itu, tidak ada seorang pun dari kalangan murid keturunan Cina. Ini sungguh menghairankan saya, walaupun bagi setengah orang fenomena ini mungkin tidak begitu penting. Malah tidak ada siapa pun yang saya lihat mempersoalkan perkara ini.
Kepada saya, ia suatu yang amat merisaukan dan mengganggu fikiran saya. Perkara tidak ada murid keturunan Cina yang masuk ke sekolah ini pada tahun 2008 ini membuatkan saya tertanya-tanya. Mungkin ia tidak menjadi pelik kalau penduduk yang tinggal di kawasan sekolah ini tidak ada kaum Cina.
Yang jelasnya lebih 20 peratus penduduk di kawasan ini adalah dari kalangan kaum Cina. Kenapa agaknya kaum Cina tidak berminat untuk masuk ke sekolah kebangsaan?
Kalau nak dikatakan sekolah jenis kebangsaan Cina lebih baik prestasinya berbanding sekolah kebangsaan sebagai alasan mereka tidak berminat hendak menghantar anak ke sekolah kebangsaan, telahpun diketahui umum Sekolah Kebangsaan Taman Sri Pulai ini adalah sekolah yang terbaik dari segi pencapaian akademiknya di Daerah Kulai ini.
Kalau sekolah kebangsaan yang terbaik pun mereka tidak berselera hendak menghantar anak-anak mereka, apalagi dengan sekolah kebangsaan yang lain-lain itu.
Padahal sekolah jenis kebangsaan Cina yang paling dekat dengan Taman Sri Pulai ini terletak tidak kurang dari enam kilometer jauhnya, tapi mereka masih sanggup hantar anak-anak ke sana berbanding sekolah kebangsaan yang hanya terletak di depan rumah mereka sahaja.
Tidakkah kita sedar kesan dari pengasingan sekolah mengikut kaum ini sangat besar kepada keutuhan perpaduan masyarakat majmuk negara kita ini. Perpaduan seharusnya dipupuk dari peringkat kanak-kanak lagi. Melentur buluh biarlah dari rebung, saya tidak nampak semangat perpaduan dapat dipupuk melalui ucapan dan slogan sahaja.
Perpaduan harus dihayati dalam kehidupan sebenar, pada semua peringkat dan mesti bermula dari peringkat kanak-kanak lagi. Mungkin kepada orang politik, apa yang mereka maksudkan perpaduan itu bila
tidak ada pergaduhan antara kaum dan ada persefahaman dalam pembahagian tender projek kerajaan antara parti-parti komponen.
Oleh itu saya tidak hairan kalau orang politik tidak risau langsung dengan isu tidak ada murid Cina di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Pulai ini, kerana memang tidak ada berlaku pergaduhan kaum pun di situ.
Kalau orang politik benar-benar faham maksud perpaduan, tentulah kes yang saya timbulkan di sini (tidak adanya murid Cina di tahun satu di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Pulai) sudah menjadi isu yang sangat besar dan penting kepada mereka.
Kalau sekali pun kaum Cina terpaksa menghantar anak-anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan Cina kerana hendakkan anak-anak mereka dapat belajar tulisan dan bahasa Cina ataupun atas-atas sebab lain, takkanlah tidak ada jalan penyelesaiannya selain daripada mengasingkan sekolah anak-anak mereka.
Nampaknya mereka sanggup mengorbankan perkara yang lebih penting iaitu perpaduan yang sebenar daripada mencari penyelesaian masalah yang rasanya tidaklah begitu sukar untuk diatasi.
Seperti yang biasa saya sebutkan, kita boleh memberi perlindungan dan memulihara harimau untuk mengelakkan dari pupus tapi janganlah sehingga sampai binatang ganas ini boleh mengancam haiwan ternakan dan nyawa manusia sendiri.
Realitinya, haiwan ternakan kita itulah yang lebih penting untuk menentukan survival kehidupan manusia. Bahasa dan tulisan ibunda kita memang patut dipertahan dan dipelihara tetapi janganlah sampai kita mengorbankan perkara yang lebih penting iaitu perpaduan tulen. Kerana perpaduan tulenlah yang lebih utama dalam menentukan survival bangsa kita.
Saya rasa masih ada jalan untuk anak-anak kita belajar bahasa dan tulisan ibunda mereka di satu sekolah yang sama, itupun kalau kita betul-betul mahu melihat perpaduan yang tulen di kalangan rakyat berbilang kaum.