Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya merupakan warganegara Malaysia yang berumur dalam lingkungan 30-an kelahiran negeri Johor. Masih terpahat di hati saya, buat pertama kali saya mendengar amanat Datuk Seri sebagai Menteri Pelajaran di sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah Rendah. Walaupun pada ketika itu, saya kurang memahami keseluruhan teks ucapan Datuk Seri, jauh di hati dapat dirasakan bahawa ini adalah kata-kata ikhlas daripada seorang pemimpin yang jujur yang berjiwa rakyat.

Perasaan yang sama saya alami kembali apabila mendengar ucapan sulung Datuk Seri setelah mengambil alih tunjak kepimpinan negara daripada Tun Mahathir Mohamad. Kami, khususnya orang India, berasa amat lega dan gembira kerana kami yakin perit rintihan yang kami alami selama 50 tahun, akan didengar oleh Datuk Seri.

Ketika Datuk Seri membebaskan Datuk SeriAnwar Ibrahim, harapan kami mula menggunung dan kami mula menaruh kepercayaan terhadap pimpinan Datuk Seri. Kami amat yakin bahawa Datuk Seri akan melakukan segala yang mungkin untuk memulihkan sistem kehakiman kita yang semakin parah.

Tetapi segala harapan ini hancur berkecai pada pagi Ahad 25 November 2007, satu lagi titik hitam bukan sahaja dalam era pimpinan Datuk Seri tetapi dalam sejarah Malaysia secara amnya. Pada hari ini, kami kesal dan menitiskan airmata melihat bangsa kami dipukul, diterajang, diaibkan di depan mata kami sendiri.

Lebih menyedihkan polis yang sepatutnya menjaga keselamatan kami menggunakan kekerasan untuk meleraikan kami yang berkumpul secara aman untuk menyerah memorandum kepada Suruhanjaya Tinggi British. Jalan raya menghala ke Kuala Lumpur diperiksa ketat. Suatu perbuatan yang saya rasa sengaja dilakukan oleh polis untuk menyemarak perasaan marah kaum lain terharap kaum India.

Perbuatan memeriksa dan menahan hanya orang India diibaratkan sama seperti perangai Aparteid. Rakyat dikongkong kebebasannya untuk bersuara secara demokrasi. Apa maknanya kebebasan ini sekiranya kami tidak boleh berkumpul dan menyatakan ketidakpuasan kami di bawah pemerintahan Barisan Nasional selama 50 tahun.

Apa yang kami pinta cuma secebis masa Datuk Seri untuk mendengar rintihan kami. Tetapi kesal melihat sikap Datuk Seri yang tidak mengendahkan semua memorandum yang dihantar ke pejabat Datuk Seri sebelum perarakan raksasa ini.

Datuk Seri, kami mempunyai sejarah 150 tahun di negara ini. Tetapi ketika kemerdekaan, pihak British hanya memerdekakan tanah ini tetapi gagal untuk memerdekakan kami. Ketuanan British digantikan dengan ketuanan Melayu. Tatkala British memerintah, kami menjadi hambanya. Kini, kami masih lagi menjadi hamba kepada "'Ketuanan Melayu' yang lantang dipolitikkan oleh pemimpin-pemipin Umno.

Pada hari ini, negara kita terkenal sebagai negara perindustrian. Tetapi yang menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi dan industri di negara kita adalah hasil komoditi getah dan kelapa sawit. Untuk beberapa dekad, bangsa kami menitis keringatnya untuk mencipta dan mengekalkan nama Malaysia sebagai pengeluar nombor satu getah di dunia.

Bolehkah Datuk Seri sangkal kenyataan ini? Tetapi lihatlah apa yang menimpa kami sekarang? Sungguh tragis nasib kami. Kami dilabelkan sebagai penjenayah di negara sendiri dan ramai anak muda kami yang "hilang" dalam tahanan polis. Bangsa yang pada suatu ketika dulu berkerja keras untuk membangunkan negara ini, kini hidup sebagai masyarakat kelas 4 di negara sendiri.

Datuk Seri, mangkuk mangkuk plastik yang menadah susu getah busuk dan basi di ladang ladang getah itu, adakalanya lebih mengerti penderitaan kami daripada mereka yang datang dengan janji bak puisi lima tahun sekali. Setiap kali kami mengundi atas telunjuk MIC, kami menagih harapan mungkinkah kali ini nasib kami yang tertindas sekian lama akan berubah.

Malang sekali, kerajaaan Barisan Nasional yang kami harapkan itu telah merampas ladang-ladang kami and membogelkan kami tanpa sebarang jaminan sehinggakan kami terpaksa hidup merempat tanpa kemudahan asas di tanah haram di kota. Tangisan kami tidak didengar langsung oleh MIC. Malah MIC menggunakan sentimen ini untuk meraih undi ketika pilihanraya. Apa yang menanti kami cuma masa depan yang gelap.

Kini rakyat sudah bersuara. Kami ingin berurusan sendiri dengan wakil rakyat kami, ahli parlimen kami, menteri dan perdana menteri kami. Bukannya melalui MIC dan S Samy Velu yang bertindak sebagai "mandor" untuk kami.

Datuk Seri, kami berasa kagum dengan kebolehan Datuk Seri memperdebatkan hujah-hujah yang merangkai kesengsaraan rakyat tertindas Palestin di persada dunia dengan begitu lantang sekali, tetapi amat kesal dengan pendirian hipokritis kerajaan Barisan Nasional yang bertindak keras ke atas rayuan dan rintihan kami sama seperti si zionis melayani rakyat di bumi Palestin.

Masih ingatkah Datuk Seri kepada balu bekas pendaki gunung Everest, M Moorthy dan kes M Revathi, mangsa institusi kehakiman negara yang melaksanakan dual justifikasi di negara ini. Keluarga mereka ranap dalam kemelut sistem kehakiman negara. Inikah yang diteraskan dalam Islam Hadhari?

Tiada siapa yang tampil membantu mereka. Mahkamah, MIC, Samy Vellu, Barisan Nasional tidak dapat membantu mereka. Ke mana lagi akan kami pergi sekiranya ditindas di negara sendiri? Ke mana akan kami lari sekiranya dianiaya di negara sendiri?

Demonstrasi yang diadakan Ahad lalu jelas menunjukkan kemarahan orang India yang dipinggirkan selama 50 tahun di bawah Barisan Nasional. Seluruh dunia telah melihat "makkal sakti" (kuasa rakyat) dan mula celik dengan "demokrasi" di Malaysia. Kini, semua mata melihat kerajaan Barisan Nasional. Dunia menanti jawapan Datuk Seri.

Walaupun begitu, masih ada di antara kami yang mengharapkan kerajaan Barisan Nasional boleh membantu menyelamatkan kami. Kami meminta Datuk Seri mengambil berat tentang rintihan kami dan memandang serius demonstrasi ini.

Kami telah menjangkaui empat generasi di sini. Sekiranya, rakyat boleh menerima anak warga Indonesia sebagai menteri besar mereka, kami yakin rakyat negara ini sudah bersedia untuk berkongsi bersama hak mereka dengan kami.

Kami tidak ingin merampas hak mereka tetapi pada masa yang sama kami tidak akan berganjak untuk melepaskan hak kami.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS