Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Malaysia telah menyambut kemerdekaannya yang ke-50. Tidak ada dalam sejarah mana-mana negara di dunia ini yang diperintah oleh satu parti sahaja untuk jangkamasa hingga lebih 50 tahun, kecuali negara komunis.

Hanya ada dua kemungkinan yang boleh menjawabnya - mungkin kerana Umno terlalu bagus sehingga layak untuk memerintah lebih 50 tahun atau mungkin kerana demokrasi yang diamalkan tidak demokratik seperti yang sepatutnya.

Setiap kali menyambut merdeka, dikompangkanlah kepada orang ramai bahawa terlalu besar jasa Umno kerana memerdekakan negara ini dari penjajah British. Kita diperingatkan segala kemajuan dan kemakmuran negara yang kita nikmati hari ini adalah hasil dari kemerdekaan yang kita perolehi.

Mungkin sebab itulah, sebagai mengenang budi dan jasa Umno dalam memerdekakan negara ini, maka rakyat, terus memberi mandat kepada Umno untuk terus memerintah sehingga lebih 50 tahun.

Padahal, kalau difikirkan secara rasionalnya, orang yang memperjuangkan kemerdekaan negara kita dulu bukanlah lagi berada dalam Umno sekarang. Yang tinggal adalah parti Umno yang kebanyakan ahlinya terdiri dari generasi selepas merdeka.

Lagipun, di peringkat awal penubuhannya, Umno bukanlah dalam bentuk parti politik untuk bertanding bagi memerintah negara, tetapi lebih kepada wadah penyatuan orang Melayu bagi menuntut kemerdekaan.

Orang Melayu yang berada di bawah Umno juga kemudiannnya menubuhkan parti-parti politik yang lain. Oleh itu, tidaklah tepat kalau kita mengatakan parti Umno yang memperjuangkan kemerdekaan. Tetapi yang tepatnya ialah semua orang Melayu ketika itu, telah bersatu di bawah Umno untuk menuntut kemerdekaan negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS