Most Read
Most Commented
Read more like this

Kami gembira mendengar syarikat Shin Yang berkata yang dia sangat mengambil berat tentang keperluan hidup dan hak adat kami kaum Penan ( Logging firm: We're doing our best to help Penans ). Tetapi kami tidak mengerti kenapa keadaan sebenarnya, jauh berbeza dengan apa yang dicakapkan oleh Shin Yang.

Terlebih dahulu, apa yang benar, kami memang mengaku benar. Memang Shin Yang ada membantu kami dengan belanja orang mati, tetapi tidak pernah sekali dengan pengangkutan membawa mayat pulang atau menghantar mayat ke kubur.

Begitu juga, Shin Yang ada membayar elaun kepada ketua kampung dan ahli JKKK (jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung), tetapi syarikat ini tidak membayarnya kepada semua ketua kampung dan JKKK dalam kawasan lesennya.

Kami juga mengaku bahawa Shin Yang seperti dengan syarikat lain ada memberi buah tangan untuk kami merayakan Krismas. Tetapi, tidak seperti yang dikata oleh wakilnya, tidak ada buah tangan dalam bentuk wang dan dalam bentuk barang.

Kami diberi RM300 untuk satu rumah panjang yang seramai 40 keluarga dan kami boleh terima dalam bentuk wang atau bentuk barang.

Selain ini, kata kata lain wakil Shin Yang jauh daripada benar, dan kami ingin membalas cakap mereka satu demi satu, dari perkara kecil hingga perkara besar.

Yang pertama, sebalik daripada membayar pemali, wakil Shin Yang sudah kata kepada kami bahawa pemali itu sudahpun selesai pada waktu syarikat balak mula masuk ke kawasan kami Penan dulu, dan dia tidak perlu lagi membayar pemali untuk kerja ladang sawit dan kayu kertas.

Yang benar, Shin Yang sawit ada memberi pemali kepada kampung Penan Lg Jaik, tetapi tidak kepada yang lain.

Yang kedua, kami Penan di Seping, Plieran dan Danum berani berkata bahawa Shin Yang yang paling tidak membantu kami dengan pengangkutan ke Sg Asap, sama ada untuk menghantar anak ke sekolah atau membawa orang sakit ke klinik.

Sebaliknya, kami selalu dimarah dan dihina apabila kami cuba memohon bantuan ini daripada Shin Yang tidak kira Shin Yang Plantation atau Shin Yang Forestry.

Yang ketiga, kami Penan Seping, Plieran dan Danum juga berani berkata bahawa Shin Yang yang paling tidak membantu kita dengan keperluan perumahan.

Hanya pada tahun 2007 ini, baru Shin Yang ada membuat satu rumah panjang untuk Penan Lg Pelutan. Itupun bukan sebagai menolong, tetapi sebagai mengganti pulau hutan Penan Lg Pelutan, iaitu mereka menyerah hutan tersebut kepada Shin Yang untuk mengambil kayu balak dan membuat ladang kayu kertas.

Begitu juga dengan air paip di mana Penan Lg Jaik telah mendapat bekalannya dari medical (pihak perubatan). Kami Penan Lg Singu, Lg Luar dan Lg Tangau tidak ada air paip dan terpaksa menggunakan air hujan untuk masak dan minum dan air sungai yang kotor untuk mandi dan mencuci kain.

Keempat, kami berani mencabar Shin Yang supaya menunjukkan buku bukunya sebagai bukti bahawa 90 peratus pekerja di ladang sawit adalah orang Penan.

Kami Penan tidak bersekolah, tetapi kami ada mata dan kami sendiri dapat nampak majoriti pekerja (ladang) sawit adalah orang Indonesia atau bangsa lain daripada Penan.

Kelima, dan yang paling penting, kami menolak sama sekali cakap wakil Shin Yang bahawa mereka menghormati hak dan tanah adat kami. Sebaliknya, syarikat ini meninjak hak kami.

Bila Shin Yang Plantation mula masuk ke kawasan kami, wakilnya berkata kepada kami bahawa mereka memegang lesen bagi semua kawasan ini dan kami Penan tiada hak ke atas kawasan ini, selain tanah temuda dan kubur. Mereka ada berkata bahawa kami tidak boleh menyimpan tanah atau hutan untuk kegunaan kami.

Tambahnya lagi, Shin Yang Plantation bukan datang berrunding dengan kami dulu. Dia membuat sesuka hatinya, mengambil tanah temuda kami, lalu mahu membayar RM300 untuk satu hektar tanah temuda yang sudah mereka habis tolak.

Kami Penan tidak setuju and tidak mahu, tetapi apa boleh buat, tanah itu pun sudah mereka gundur dan tanam sawit atau kayu kertas. Jadi, terpaksalah kami terima RM300 untuk setiap satu hektar.

Kami Penan Seping, Plieran dan Danum ini memang takut dengan mereka dan takut dengan perintah. Lalu, walaupun kami amat sakit hati dan susah hati, kami tidak tahu buat apa apa.

Seorang daripada ketua kampung kami, iaitu Matu Tugang dari Lg Jaik, ada pergi berjumpa DO (district officer) Belaga dengan GM (general manager) Shin Yang. Sebelum itu, DO Belaga waktu itu ada memberitahu TR (Tui Rumah) Matu bahawa memang Penan perlu tanah dan hutan.

Tetapi, ketika berdepan dengan GM Shin Yang, DO Belaga kata apa yang boleh dia atur, dia akan atur. Lalu, diberitahu GM supaya jangan kacau pulau paip. Tetapi pasal tanah, dia memberitahu TR Matu supaya tunggu GM atur bagi tanah sama Penan kerana kami Penan tidak ada kuasa.

Apabila TR Matu dengar kata DO, dia pun diam diri kerana takut dengan perintah dan takut salah cakap, bukan kerana dia terima kata kata itu. Sudah beratus tahun kami Penan duduk di kawasan ini. Bagaimana pula kami Penan tidak ada kuasa dan tidak ada hak? Kami bukan pakai lesen, kami hanya pakai adat kami yang sudah ada sebelum syarikat dan sebelum lesen.

Jadi, TR Matu pun bertanya dengan kawan kerana dia fikir cakap DO itu tidak patut. Kawan itu menasihatkan TR Matu supaya bertanya kepada orang yang lebih tahu tentang hak adat, tetapi dia juga fikir tidak patut rumah panjang tidak ada kuasa atas tanah mereka.

Dia memberi alamat Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia) kepada TR Matu dan dengan cara itu TR Matu dapat menyampaikan aduannya kepada Suhakam. Ikut cakap Suhakam, kami Penan tidak dapat tahan semua kawasan, mahu ada bagi kepada syarikat dan juga ada bagi untuk kami.

Kalau begitu, kami Penan Seping, Plieran dan Danum dapat terima. Tetapi, sekarang GM kata TR Matu mahu tahan terlalu banyak tanah. Sekian lama kami Penan menjaga hutan di kawasan ini. Sekarang, dalam masa beberapa tahun sahaja, Shin Yang sudah tebang habis hutan itu, tinggal hanya sedikit di atas bukit dan dalam kawasan yang kami tahan.

Bagi kami Penan, kawasan kami bukan setakat perkara penghidup kami tetapi juga penuh dengan kenangan pahit manis kami. Sekarang, tempat itu semuanya sudah hancur musnah. Tambahan pula, penghidup kami pun syarikat mahu ambil.

Kami Penan perlu tanah dan perlu hutan. Kawasan yang kami cuba tahan sekarang tidak luas berbanding dengan berpuluh ribu hektar (kawasan) lesen Shin Yang.

Yang kami cuba tahan hanya sedikit hutan, tidak cukup pun untuk babi lalu, dan sedikit tanah untuk tanam padi. Itu hanya yang tinggal untuk kami dan keturunan kami. Kalau sedikit itu pun tidak dapat, baik bunuh kami Penan sekarang daripada bunuh kami perlahan lahan.

Nota: Matu Tugang adalah Tuai Rumah Lg Jaik dan Along Joo adalah Tuai Rumah Lg Singu.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS