Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada beberapa peristiwa kebelakangan ini yang menggugat hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia. Yang terbaru ialah peristiwa sepasukan anggota Rela menyerbu masuk rumah pasangan pelajar Indonesia di Hentian Kajang pada 8 Oktober adalah suatu yang memalukan. Kes tersebut bermula kira kira pukul 5.30 pagi, apabila sekumpulan anggota Rela memecahkan pintu rumah pasangan tersebut, namun terbukti mereka mempunyai kad pengenalan dan pasport yang sah.

Pasangan tersebut, Muhammad Yunus Lubis, pelajar sarjana Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan isterinya Wella Alrisa Putri Loka, pelajar sarjana Fakulti Kejuruteraan di universiti yang sama, baru sahaja dua bulan mendaftarkan diri di UKM. Muhammad Yunus, yang baru menamatkan pengajiannya di Mesir dan terus menyambung peringkat sarjana di Malaysia, merasa terkejut dengan tindakan ganas anggota Rela itu. Isteri beliau, Wella sehingga kini masih trauma dengan peristiwa tersebut dan mahu berpindah ke rumah baru.

Rela telah menyerbu membabi buta ke rumah pasangan tersebut dengan bertujuan menyemak status kewarganegaraan mereka. Pasukan Rela itu telah memecahkan pintu rumah pasangan tersebut dan menggeledah rumah mereka dengan kasar sekali.

Namun demikian, PKPIM rasa kecewa dengan sikap Rela yang membabi buta dan kasar dalam menangani kes ini. Setakat hari ini, isu ini telah mendapat liputan luas dalam media Indonesia. Malah dikhabarkan ada usaha untuk memutuskan hubungan diplomat Indonesia-Malaysia dalam kes ini. Gerakan demonstrasi bantahan oleh mahasiswa Indonesia di hadapan kedutaan Malaysia di Indonesia juga sedang marak.

PKPIM berpandangan bahawa pasukan Rela harus mengaku kesilapan dalam menangani kes ini. Dalam beberapa kenyataan Pengarah Rela, Datuk Zaidon Asmuni menafikan pegawainya bertindak kasar terhadap pasangan itu. Katanya, Rela mengetuk dengan lembut dan bertindak baik kepada pasangan tersebut.

PKPIM menggesa agar Rela bertindak secara bijaksana dalam menangani kes kes seperti ini. Tindakan pasukan Rela tidak menunjukkan sikap rakyat Malaysia yang bersopan santun dan bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan Malaysia sebagai destinasi ziarah seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2007.

Penulis adalah Presiden, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, merangkap Penolong Setiausaha Agung 2 Persatuan Pelajar Islam Indonesia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS