Sudah diketahui umum ada kaitan yang rapat antara nama yang popular dengan banyaknya imbuhan yang diperolehi.
Atas kepercayaan itulah kebanyakan kita berusaha untuk mendapatkan nama kerana bila kita ada nama maka cepat dan mudahlah untuk kita naik dalam jabatan dan tentulah gaji kita akan meningkat.
Kadang-kadang kalau ada kelemahan yang berlaku dalam jabatan, ia akan cuba disorokkan dari orang ramai demi menjaga nama kita. Sebaliknya kalau ada kejayaan yang kita lakukan dalam jabatan walaupun tidak sebesar mana, akan ditonjolkan secara berlebihan agar nama kita diketahui orang.
Itulah budaya yang semakin menular dalam masyarakat kita sekarang ini, bekerja untuk nama.
Budaya sonsang ini telah banyak memporak perondakan kehidupan kita sehingga telah mengganggu cara kehidupan kita yang sepatutnya lebih bermaruah.
Umpamanya kalau di sekolah-sekolah ada guru-guru yang berhempas pulas menunjuk ajar murid-murid mereka agar ramai murid-murid mendapat gred A atau lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan. Ini adalah kesan dari prestasi seorang guru dan guru besar itu diukur dari berapa ramai murid di suatu sekolah itu mendapat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR atau SPM.
Makin ramai murid di suatu sekolah itu yang lulus cemerlang dalam peperiksaan tersebut, makin harumlah nama sekolah itu dan sudah tentulah juga guru-guru dan guru besar yang bertanggungjawab di atas kejayaan itu akan mendapat perhatian ramai. Seterusnya peluang untuk naik pangkat dan mendapat anugerah juga menjadi lebih cerah.
Maka tidak hairanlah sebagai natijahnya, cara pengajaran di sekolah-sekolah hari ini lebih berorentasikan peperiksaan.
Apa yang kita dapati di sekolah-sekolah hari ini, kesan dari bekerja untuk nama ini, murid-murid didedahkan dengan contoh-contoh soalan peperiksaaan dan guru akan menunjukkan murid-murid ini cara menyelesaikan soalan-soalan tersebut. Dengan cara demikian murid-murid akan menjadi mahir untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan kerana mereka telah diberitahu cara
untuk menyelesaikannya.
Walaupun dengan cara ini ramai murid-murid akan mendapat kelulusan cemerlang dalam peperiksaan utama yang disebutkan tadi tetapi ini tidak bermakna murid-murid tersebut terdiri dari murid yang boleh berfikir kerana ada kemungkinan mereka telah menghafal dan tahu cara penyelesaian soalan peperiksaan itu dari apa yang telah diajar oleh guru mereka.
Dengan itu tujuan asal peperiksaan itu diwujudkan untuk menghasilkan insan yang boleh berfikir tidak mencapai matlamatnya sebaliknya kita hanya berjaya mewujudkan insan yang tahu mengguna dan menghafal kaedah yang disediakan.
Sepatutnya apa yang hendak kita keluarkan dari sistem persekolahan kita ialah manusia yang boleh berfikir dan mencipta, bukannya manusia yang seperti robot.
Membuat soalan peperiksaan bukanlah suatu perkara yang mudah. Soalan itu dibuat supaya murid dapat menggunakan daya fikir mereka di samping pengetahuan yang telah mereka belajar. Di sinilah kita akan dapat menguji setakat mana murid itu boleh berfikir dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang diberi.
Oleh kerana kita tidak mampu membuat soalan peperiksaan yang betul-betul berbeza pada setiap tahun maka ada kemungkinan soalan yang hampir sama bentuk dan konsepnya akan diulang semula pada peperiksaan di tahun-tahun akan datang. Luang inilah yang akan digunakan oleh sebahagian murid-murid yang mampu menghafal berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan walaupun tanpa menggunakan fikiran.
Kiranya tiada usaha untuk membetulkan sistem pengajaran dan pembelajaran yang berorentasikan peperiksaan ini, kita bimbang negara kita tidak akan dapat mengeluarkan modal insan kelas pertama seperti yang kita rancangkan.