Rakyat negara ini pernah dikejutkan dengan berita sebuah hospital swasta tidak mahu merawat seorang pemuda yang luka parah akibat ditikam oleh penjenayah gara-gara pemuda itu tidak dapat mengadakan wang deposit. Akibatnya pemuda itu mati disebabkan lewat mendapat rawatan. Ekoran peristiwa itu orang ramai begitu kesal dengan tindakan hospital itu kerana waktu kecemasan hospital tersebut masih lagi mementingkan keuntungan wang ringgit daripada menyelamatkan nyawa.
Peristiwa pahit ini telah memberi satu tanggapan kepada orang ramai yang kewujudan hospital swasta di negara ini adalah semata untuk mencari keuntungan.
Sebelum wujudnya hospital swasta, rakyat yang sakit akan pergi ke hospital kerajaan untuk menerima rawatan. Di hospital kerajaan setiap rakyat negara ini mendapat rawatan percuma dan jika dikenakan bayaran, kosnya sangat rendah.
Apabila bilangan rakyat negara kita bertambah ramai, negara pula semakin maju, cara hidup rakyat pun berubah, penyakit mula datang dan menyerang dalam berbagai bentuk.
Namun hospital kerajaan pula tidak lagi dapat menampung jumlah pesakit yang sangat ramai. Akhirnya terserlah kelemahan atau kekurangan hospital kerajaan yang sering menjadi rungutan orang ramai. Maka lahirlah hospital swasta untuk mengisi kekurangan ini.
Hospital swasta menjadi tarikan kepada golongan yang kaya kerana mereka dapat layanan dan rawatan yang terbaik.
Kerana permintaan yang menggalakan dari golongan yang berada, perniagaan hospital swasta tumbuh dengan banyaknya di negara ini. Apabila hospital swasta bertambah banyak, mereka bukan sahaja bersaingan dengan hospital kerajaan tetapi juga bersaing antara hospital swasta itu sendiri.
Untuk menjaga kepentingan pelabur, pihak pengurus hospital swasta ini sentiasa memikirkan untuk membuat keuntungan. Mungkin kerana ini jugalah mereka keberatan menerima kes-kes kecemasan kecuali pesakit terlebih dahulu membayar deposit untuk mendapat rawatan.
Semua kos perbelanjaan untuk mengurus dan mengendalikan hospital swasta ini datang sepenuhnya dari duit pesakit mereka. Duit itulah juga digunakan untuk membayar gaji pekerja dan gaji doktor-doktor mereka.
Tidak boleh dinafikan kewujudan hospital-hospital swasta ini telah dapat mengurangkan sedikit beban kerajaan untuk menyediakan kemudahan rawatan kepada rakyat.
Oleh itu disyorkan kerajaan memberi subsidi kepada hospital-hospital swasta yang ada. Dengan adanya subsidi ini hospital swasta ini tidaklah terlalu bergantung kepada duit pesakit, malah hospital swasta boleh menawarkan harga rawatan yang lebih rendah kepada pesakit mereka.
Harga rawatan yang rendah akan menarik lebih ramai pesakit dari rakyat berpendapatan sederhana untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta. Mungkin selepas ini tidak akan berlaku lagi kes hospital swasta menolak pesakit yang ingin mendapatkan rawatan kecemasan.
Walaupun nampak seperti kerajaan terpaksa keluar belanja untuk memberi subsidi tetapi ini masih lagi untung berbanding untuk menyediakan hospital yang berkualiti secara percuma kepada seluruh rakyat.