Saya merujuk kepada artikel Yang bersih dan yang kudus .
Ia satu artikel yang bagus, yang mengupas pengertian Islam yang telah hilang atau tidak dihayati oleh umat Islam itu sendiri. Kebersihan adalah salah satu intipati agama Islam yang gagal diikuti dan difahami oleh umat Islam. Apa yang dikejar oleh umat Islam sekarang ialah yang tersurat dan bukan yang tersirat.
Kebersihan adalah satu aspek yang penting tetapi ia tersirat - tidak sejelas ayat-ayat bacaan yang ditunjuk-tunjukkan di dinding restoran atgau kedai masing-masing. Inilah masalah kita di akhir zaman ini. Yang lebih penting ialah yang tersurat dan yang tersirat diabaikan begitu sahaja.
Seperti yang diutarakan oleh Hishamuddin, kedai-kedai di Jalan Telawi, Bangsar menunjukkan satu contoh yang jelas di mana kebersihan itu boleh diamalkan. Tetapi kenapa kita masih gagal menghayatinya?
Dalam banyak ilmu Islam, umat Islam sememangnya gagal menghayati dan membezakan apa yang penting dan apa yang tidak penting. Kita lebih pentingkan hukum hakam - iaitu kita lebih suka menghukum orang dari melihat diri sendiri.
Banyak ilmu ilmu tersirat Islam semuanya kita lihat dipraktikkan di negara negara maju, negara bukan Islam! Entah macam mana, mereka lebih menghayati intipati Islam dari umat Islam itu sendiri.
Di kalangan orang Islam, perpaduan tidak wujud, sedangkan di negara-negara Eropah sibuk dengan perpaduan Kesatuan Eropah (EU) nya. Nilailah diri sendiri sebelum menilai orang lain. Pastinya, akan kita berjumpa dengan ilmu yang amat bernilai.