Saya ingin memberi pandangan berkenaan surat saudara Charles Hector yang bertajuk Suhakam tigers face extinction .
Memang tidak dapat dinafikan bahawa Suhakam menjadi terkenal disebabkan beberapa orang pesuruhjaya yang berani menyuarakan pendapat dan menegakkan kebenaran seperti Puan Mehrun Siraj, Tan Sri Anuar Datuk Zainal Abidin dan Prof. Datuk Hamdan Adnan.
Sumbangan mereka dalam siasatan kes pelanggaran hak asasi manusia itu merupakan lagenda Suhakam. Saya percaya ramai di antara kita berasa kecewa berikutan tindakan kerajaan tidak melantik semula semula Puan Mehrun Siraj dan Tan Sri Anuar pada tahun 2002. Mereka memperlihatkan usaha dan keberanian dalam memperjuangkan hak asasi manusia.
Suhakam ditubuhkan bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Akta 597) pada tahun 1999. Suhakam sering dikritik oleh pelbagai pihak kerana tidak upaya menegakkan hak asasi rakyat yang ditindas.
Sehingga kini, masih banyak kes pelanggaran hak asasi manusia di sekeliling kita yang tidak diselesaikan dengan berkesan oleh Suhakam kerana ia tidak diberikan 'taring' (kuasa mendakwa).
Saudara Charles mencadangkan supaya tempoh perlantikan pesuruhjaya Suhakam dipanjangkan kepada enam tahun. Cadangan ini dibuat berdasarkan keadaaan sekarang di mana pesuruhjaya Suhakam mendiamkan diri kerana mereka bimbang tidak akan dilantik semula sekirnya bersikap berani dan lantang.
Pada saya, mereka yang dilantik sebagai pesuruhjaya Suhakam seharusnya bersifat berani, bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan hak asasi tanpa rasa bimbang sama ada mereka dilantik semula atau tidak. Mereka juga sepatutnya telah memikirkan segala risiko dan kemungkinan yang akan mereka hadapi sebelum menerima perlantikan tersebut.
Jika melihat kepada pasukan pesuruhjaya Suhakam yang sedia ada, apakah pencapaian nyata mereka dalam memperjuangkan hak asasi selain daripada publisiti.
Kebanyakan daripada mereka telah memegang jawatan pesuruhjaya lebih daripada empat tahun. Sekiranya tempoh perlantikan mereka dipanjangkan kepada enam tahun dengan dipenuhi oleh para pesuruhjaya yang tidak berani bersuara, maka hilanglah makna mewujudkan Suruhanjaya ini.
Pada pendapat cetek saya, daripada memberi tempoh perlantikan yang lebih panjang, lebih baik kita kaji semula kriteria pemilihan pesuruhjaya itu. Saya percaya masih terdapat ramai orang yang sesuai untuk jawatan tersebut. Terdapat ramai orang yang berpengalaman dan sanggup berkorban untuk hak asasi manusia tanpa melihat kepada ganjaran.
Saya juga berharap Suhakam dapat mengambil inisiatif yang lebih dalam mempertahankan hak-hak tahanan dan mahasiswa yang sering diabaikan.