Most Read
Most Commented
Read more like this

Apa itu Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan?

Artikel 121 (1A) adalah peruntukan perlembagaan yang menghalang Mahkamah Sivil mencampuri bidang kuasa mahkamah Syariah.

Adakah Artikel 121 (1A) wujud dari dahulu?

Tidak. Sebelum 1988, urusan-urusan mahkamah Syariah selalu diganggu oleh mahkamah Sivil. Apa yang telah diputuskan di Mahkamah Syariah dengan mudahnya dikacau oleh mahkamah Sivil. Hal ini sebenarnya mengganggu urusan orang Islam kerana orang Islam mempunyai hak dan kewajipan untuk dihukum di Mahkamah Syariah.

Tokoh-tokoh seperti Allahyarham Tan Sri Ahmad Ibrahim telah berusaha lama untuk memastikan urusan Mahkamah Syariah bebas dan tidak diganggu oleh Mahkamah Sivil, dan hanya pada tahun 1988, peruntukan (1A) dimasukkan. Mahkamah Syariah mula ada kebebasan setelah 31 tahun Malaysia merdeka.

Kenapa perlu bagi ruang pada mahkamah Syariah?

Dari sudut sejarah, Mahkamah Syariah telah wujud sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi dengan wujudnya undang-undang seperti Undang-Undang Melaka. Semua negeri di Tanah Melayu mempunyai undang-undang Islamnya sendiri. Namun kewujudannya telah dikacau oleh penjajah sewaktu penjajahan mereka dan akhirnya mula Inggeris mula memperkenalkan undang-undang Common Law bermula dengan perjanjian Pangkor 1786, Piagam Keadilan 1807 dan piagam Keadilan 1824.

Malah dalam satu kes, Ramah v Laton (1927) 6 FMSLR (CA) telah diputuskan:

"Muslim law is not foreign law, it is the law of the land; and the local law is a matter of which the Court must take judicial notice. The Court must propound the law and it is not competent for the court to allow evidence to be led as to what is the local law."

Ini bermaksud, undang-undang Islam itu adalah satu lex loci (law of the land), atau undang-undang sebenar di Tanah Melayu.

Justeru, hak orang Islam sebenarnya telah mula dinafikan secara tersusun semenjak 1786 lagi, dan hanya pada 1988 barulah Mahkamah Syariah dapat bernafas semula.

Adakah Artikel 121 (1A) mengganggu hak orang bukan Islam?

Tidak. Sebenarnya ia memberi semula hak orang Islam yang telah lama dihilangkan walaupun undang-undang Islam adalah lex loci. Kewujudan mahkamah Syariah sebenarnya tidak langsung mengacau hak orang bukan Islam di Malaysia.

Apakah impak Artikel 121 (1A) kalau ia digugurkan?

Antara impaknya adalah orang Islam akan kehilangan hak. Ia tidak sama sekali mewujudkan keharmonian dalam negara kerana orang Islam adalah penduduk majoriti di Malaysia. Sedangkan kewujudan 121 (1A) tidak pernah menghilangkan hak orang bukan Islam. Selain itu, kedudukan mahkamah Syariah akan kembali mundur seperti sebelum tahun 1988, di mana Mahkamah Sivil boleh mencampuri bidang kuasa Mahkamah Sivil.

Apa salahnya orang Islam menuntut di Mahkamah Sivil? Bukankah wujudnya mahkamah Syariah menyusahkan sahaja?

Kalau begitu, saya ingin bertanya balik, "Apa salahnya orang bukan Islam hanya dibenarkan menuntut di Mahkamah Syariah? Bukankah wujudnya Mahkamah Sivil menyusahkan sahaja?"

Itu hak kami. Kewajipan kami sebagai orang Islam, dihukum dengan undang-undang Islam.

Dalam kes Moorthy, apa sebenarnya yang berlaku?

Mohamad Abdullah atau M.Moorthy ini sebenarnya tidak pernah dipaksa memeluk Islam. Selepas kematiannya, JAWI menuntut agar mayatnya dikebumikan menurut upacara Islam. Keluarganya tidak berpuas hati dan ada pihak cuba mengambil kesempatan dari kelemahan perlaksanaan undang-undang ini dengan cuba menjadikannya satu isu diskriminasi dan kehilangan hak orang bukan Islam.

Kalau lemahnya dari sudut perlaksanaan, seharusnya semua pihak berusaha agar kelemahan itu dibaiki. Bukannya bersikap, "Marahkan nyamuk, kelambu dibakar."

Kita akui mahkamah Syariah masih belum sempurna, kita perlu satu mekanisma yang baik bagi membolehkan isu sebegini ditangani secara bijak. Tetapi kini, isunya sudah bertukar. Saya boleh sebut, kes Moorthy hanya dijadikan "sebab" untuk mereka yang telah lama memperjuangkan IFC (Inter Faith Councul) dan sekutu mereka. "They are playing the cards now".

Mereka sengaja memainkan isu demi isu untuk melemahkan undang-undang Islam tanpa berfikir dan bertindak dengan baik bagi mengatasi masalah yang perlu ditangani secara rasional dan bukannya emosional.

Jadi, Artikel 121 (1A) bukan isu?

Tidak sama sekali. Ada pihak yang sedang memanipulasikan isu Moorthy agar ia kelihatan seperti isu Artikel 121 (1A), seterusnya mendesak ia dipinda. Saya percaya, sekiranya tuntutan mereka gagal kali ini, seperti IFC, mereka akan tunggu isu yang lain, dan mereka akan memanipulasikan isu tersebut untuk kepentingan mereka. Dan mereka bersuara di belakang slogan hak bukan Islam, hak minoriti dan sebagainya.

Apa yang terbaik sebenarnya?

Seperti yang disebut dari awal, Artikel 121 (1A) tidak pernah menganggu gugat hak orang bukan Islam. Ia cuma memberikan hak orang Islam dan mahkamah Syariah kembali kepada asal.

Tetapi Artikel 121 (1A) tidak cukup. Ada banyak lagi perlu dibaiki untuk kebaikan bersama. Ini yang perlu dibincangkan. Bukannya menuntut sesuatu yang menyebabkan status Mahkamah Syariah mundur ke belakang.

Justeru, kalaulah kes Moorthy itu isunya, maka fikirlah satu mekanisma lain yang membolehkan isu sebegitu dibaiki di masa depan, dan bukannya isu Moorthy tersebut dimanipulasikan untuk kepentingan pihak tertentu.

Contohnya menetapkan, orang yang memeluk Islam perlu beritahu kepada keluarga. Tidak boleh sorok-sorok. Jabatan-Jabatan Agama Islam wajib membimbing dan menjaga kebajikan orang yang baru memeluk Islam. Dan isu seperti perwarisan harta yang boleh diatasi dengan baik. Dan sebagainya.

Artikel 121 (1A) adalah satu peruntukan yang baik untuk keharmonian agama. Ia perlu dikekalkan dan perlaksanaannya perlu dibaiki dari masa ke masa.

Kata-kata akhir?

Sebenarnya, umat Islam yang sebenarnya banyak dinafikan hak mereka. Kita ada beberapa undang-undang yang menafikan orang Islam dari dihukum dengan peruntukan undang-undang Islam.

Seperti Civil Law Act 1956, Courts of Judicature Act 1964, S.51 of Law Reform (Marriage & Divorce) Act 1976, Specific Relief Act 1950 dan beberapa akta lagi.

Kita sedar, undang-undang ini perlu dipinda demi mengembalikan hak orang Islam. Dan usaha pembaikan itu perlu dilakukan secara baik agar tidak menjejaskan keharmonian kaum dan agama. Kita tidak pernah mendesak seperti mereka yang mahukan Artikel 121 (1A) ini dipinda yang secara jelas cuba menghina orang Islam dan kedudukan agama Islam di Malaysia.

Hak minoriti dan bukan Islam sentiasa dipastikan agar ia tidak terganggu sebab itulah usaha membaiki undang-undang ini dibuat secara perlahan dan menerusi pendidikan.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS