Saya tidak bersetuju dengan kenyataan Naib Setiausaha Penerangan Kebangsaan Pemuda DAP (Dapsy), Saudara Lau Weng San dalam kenyataan medianya di dalam satu laman blog bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) adalah zalim dan harus dimansuhkan sepenuhnya.
Memang Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) menyokong Auku dipinda kerana bagi memantapkan lagi akta tersebut, memandangkan peralihan zaman dan perubahan semasa. Namun Auku perlu dikekalkan sebagai garispanduan dan untuk mendisiplinkan mahasiswa.
Auku diibaratkan garisan tepi padang bolasepak untuk para bermain dalam kawasan permainan. Jika tiada garisan tersebut, maka pemain pemain tidak ada pedoman mengenai kawasan permainan. Begitu juga dengan Auku, yang menghadkan batas-batas sebagai seorang mahasiswa institusi pengajian tinggi.
Bagi saya, kenyataan Yang Dipertua MPMUM sesi 2005/06, Mohd Effendi Omar telah disalahtafsir. MPMUM bukan menyekat semua semua aktiviti luar tetapi ruang kebebasannya sahaja disekat. Ruang yang dimaksudkan di sini adalah sebahagian sahaja bukan sepenuhnya.
Ini bermakna kita menggalakkan mahasiswa berpersatuan walaupun di luar kampus tetapi dihadkan kepada persatuan atau pertubuhan yang berdaftar dengan pihak Pendaftar Pertubuhan dan juga yang tidak memudaratkan akademik mereka.
Jika ruangan kebebasan ini tidak disekat, adakah pihak Dapsy bersetuju mahasiswa terlibat dengan kumpulan black metal ataupun kumpulan ajaran sesat seperti Ayah Pin? Kami di MPMUM tidak pernah menyatakan hak berpersatuan mahasiswa di luar kampus ditutup sepenuhnya.
Cuma kami mengutamakan berpersatuan dalam kampus. Di universiti sendiri terdapat puluhan persatuan pelajar yang membolehkan mahasiswa beraktiviti, sama ada sekadar di peringkat sesama mahasiswa atau melibatkan lingkungan lebih luas, termasuk masyarakat luar.
Dapsy juga tidak harus menganggap Auku yang diluluskan pada 1970 sebagai satu akta usang kerana sudah dua kali dipinda, mengikut peredaran zaman. Jadi ini adalah kali ketiga untuk dipinda. Ia akan mengambilkira cabaran pendidikan pengajian tinggi masa kini.
Jika Auku yang diluluskan oleh Parlimen pada tahun 1970 dikatakan usang, apa pula kata Dapsy mengenai Perlembagaan Malaysia yang digubal jauh lebih awal? Adakah ia juga usang? Bagi saya, perkataan usang adalah tidak relevan kerana Parlimen sentiasa meminda perlembagaan ini dari semasa ke semasa.
Apa yang menarik perhatian saya ialah kenyataan Saudara Lau bahawa Auku satu akta yang zalim. Bolehkah Saudara Lau memberikan contoh bentuk kezaliman Auku kepada mahasiswa? Adakah universiti menggunakan Auku terhadap mahasiswa yang cemerlang atau mahasiswa yang patuh kepada peraturan universiti?
Setahu saya, Auku hanya digunakan untuk pelajar yang ingkar dan melanggar peraturan universiti sahaja. Dapsy juga menyatakan bahawa pemansuhan Auku dapat membebaskan mahasiswa daripada kekangan birokratik dan supaya mereka dapat mempelajari ilmu dan menjalankan kajiselidik terhadap ilmu alam semesta dalam suasana yang bebas.
Saya ingin tahu bagaimanakah Dapsy menilai, dengan adanya Auku, maka mahasiswa tidak dapat mempelajari ilmu dan tidak dapat menjalankan kajiselidik dengan bebas? Ini yang menjadi tandatanya kepada saya ilmu dan kajiselidik yang macam manakah Dapsy maksudkan?
Bagi saya, jika kita membuat sesuatu perkara yang betul dengan lunas undang-undang, maka tidak perlu dirisaukan tentang, kerana undang-undang tidak menghukum mereka yang benar. Saudara Lau juga meminta Yang Dipertua MPMUM membezakan demonstrasi keganasan dan perhimpunan aman.
Daripada kenyataan ini, saya ingin menyeru Saudara Lau supaya mengimbas kembali tragedi semasa perhimpunan reformasi pada akhir tahun 1990-an. Memang semua perhimpunan dimulakan secara aman, tetapi jika berlakunya sesuatu yang tidak diingini, seperti penyokong bertindak ganas, adakah pihak penganjur dapat mengawal keadaan ini?
Keadaan ganas juga boleh timbul disebabkan faktor 'darah muda' golongan mahasiswa yang sememangnya remaja yang kebiasaannya cepat hilang rasional dan kurang sabar dalam keadaan sebegini. Jika pihak polis atau anggota Simpanan Persekutuan (FRU) dikerahkan, timbul pula isu polis menggunakan kekerasan. Tugas polis yang yang telah berat, ditambah lagi dalam soal ini. Jadi pada pendapat saya, sebelum berlaku apa-apa yang tidak diingini, lebih baik kita mencegahnya.
MPMUM memang berdiri di atas kaki sendiri. Kita bukan menjadi jurucakap kepada pihak pengurusan universiti, tetapi meluahkan pandangan sebagai pemimpin pelajar yang dipilih secara demokrasi. Kami juga adalah golongan muda yang lebih memahami emosi dan pemikiran sebagai remaja.
Jika pihak pengurusan melakukan perkara yang kita rasa perlu pembaikan, maka kita akan suarakan. Mengenai kemerosotan kedudukan Universiti Malaya (UM) dalam dunia oleh THES pada tahun ini, memang kita akui dari segi kedudukan kita telah menurun. Kita bukan menghebohkan markah yang diperolehi untuk menutup kelemahan, tetapi untuk pengetahuan umum bahawa kita meningkat dari segi markah.
Oleh itu, masyarakat umum dapat menilai prestasi UM dari persepsi mereka sendiri. Walaupun begitu, kita juga sentiasa mencari jalan atau cara untuk terus meningkatkan lagi markah kita dan sekaligus cuba mengubah kedudukan dalam 'ranking' dunia. Sebagai rakyat Malaysia, Dapsy juga boleh menyalurkan pandangan yang bernas untuk meningkatkan prestasi universiti negara kita, bukannya hanya mengkritik dan menghentam tanpa memberi input yang diperlukan.
Akhir kata, harapan saya agar Auku tidak dimansuhkan tetapi dipinda mengikut keperluan semasa. Ini penting supaya golongan mahasiswa tidak dipergunakan oleh pihak tertentu yang membawa anasir dan hasutan atau dilekakan daripada tujuan sebenar mereka ke universiti, iaitu untuk menuntut ilmu dan menyediakan diri melangkah ke alam pekerjaan dan alam dewasa.
Apalah sangat tiga hingga empat tahun di universiti sebagai persediaan, sebelum melibatkan diri di dalam dunia politik yang sebenar selepas itu?
Penulis adalah Naib Yang Dipertua, Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) 2005/06.