Sedarkan kita tentang kewujudan manusia atau insan yang hidupnya umpama melukut di tepi gantang di dalam negara yang kononnya gah menentang kezaliman sesama manusia ini.
Terdapat komuniti minoriti Mak Nyah di Malaysia yang dianggarkan lebih kurang 20,000 hingga 30,000 orang yang tidak diiktiraf kewujudan mereka. Malah kehadiran mereka dipandang negatif, dianggap satu penyakit sosial.
Mak Nyah di Malaysia sebenarnya menderita zahir dan batin bukan kerana identiti gender mereka sebagai seorang Mak Nyah tetapi akibat pandangan negatif masyarakat terhadap mereka.
Golongan ini sendiri tidak faham kenapa mereka diperlakukan atau dilayan tidak seperti orang atau insan. Adakah sebab stigma sosial yang menjadikan masyarakat tidak mahu memahami/menyelami, mendekati dan mengkaji komuniti minoriti ini atau sebab Mak Nyah terkeluar dari hukum alam atau peraturan sejagat bagi orang orang yang "normal".
Atau adakah setiap agama di dunia memang menggalakkan pengikutnya membenci, menghukum, menzalimi dan menyisihkan golongan Mak Nyah?
Tiada siapa boleh menafikan yang komuniti Mak Nyah diabaikan dari segi hak hak asasi dalam kehidupam mereka.
Kebajikan,kesihatan,pendidikan,pembangunan diri dan komuniti, perumahan dan banyak lagi keperluan asas hidup sebagai manusia biasa tidak diberi perhatian sewajarnya oleh pihak yang bertanggungjawab.
Stigma sosial sudah lama berlaku terhadap komuniti Mak Nyah. Media menjadi alat menanamkan sikap benci dan prejudis masayarakat terhadap Mak Nyah seolah olah komuniti Mak Nyah "deserved to be treated inhumanely".
Nyah digambarkan sebagai golongan yang terkutuk/berdosa, melanggar peraturan sejagat/hukum alam, celaru/keliru, mengamalkam budaya hidup songsang, sakit jiwa, tidak normal dan diberikan pelbagai label yang langsung tidak membantu Mak Nyah menjalani hidup secara positif dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Keganasan terhadap Mak Nyah juga amat hebat disebabkan stigma sosial tersebut. Perasaan prejudis masyarakat dan tanggapan buruk terhadap Mak Nyah telah mendedahkan golongan ini kepada keganasan baik dari pihak berkuasa atau masyarakat biasa.
Dipukul dan didera secara mental dan fizikal sudah menjadi lumrah bagi seorang Mak Nyah. Untuk mengadu atau membuat laporan, juga menjadi satu masalah, sebab tebalnya prejudis dan stigma terhadap Mak Nyah.
Lagipun dalam undang undang sivil dan syariah, menjadi seorang Mak Nyah merupakan satu kesalahan.
Isu Mak Nyah dan apa juga masalah mereka sering diperlekeh atau dipersendakan sebagaimana perasaan mereka dipermainkan. Tiada siapa yang mahu memahami atau percaya apa yang mereka alami, seolah olah ia satu fantasi.
Kekeliruan atau kecelaruan identiti adalah istilah yang digunakan terhadap Mak Nyah. Lazimnya pakar pakar sakit jiwa melihat seorang Mak Nyah sebagai pesakit mental atau jiwa yang perlu rawatan. Sebenarnya rawatan yang mereka maksudkan ialah untuk menormalkan atau memulihkan atau menukar Mak Nyah menjadi seorang "lelaki sejati".
Tanggapan dan mentaliti negatif pakar-pakar perubatan ini lebih kepada andaian dan berdasarkan kajian yang tidak tepat mengenai Mak Nyah.
Sebenarnya tiada istilah kekeliruan atau kecelaruan bagi seorang Mak Nyah. Mak Nyah amat jelas dan sedar akan kewujudan mereka serta konflik jiwa yang mereka alami adalah kerana dilahirkan dengan fizikal lelaki tetapi mempunyai pemikiran dan perasaan seorang wanita.
Namun rentetan kehidupan sedih Mak Nyah masih berlaku sehingga sekarang akibat stigma sosial yang masih menghantui mereka. Mak Nyah telah hilang segala hak mereka sebagai seorang manusia semata-mata kerana mereka "lain dari yang lain".
Stigma negatif menyebabkan segala masalah Mak Nyah seperti kekeliruan pada kad pengenalan, keperluan perubatan, penentuan gender, pekerjaan, keganasan, diskriminasi, kebajikan dan segala nya diabaikan.
Apabila Mak Nyah dilihat sebagai satu "masalah" maka secara automatik ruang untuk memahami atau mendekati mereka tertutup rapat dan segala inisiatif untuk membantu mereka dianggap bersubahat atau menggalakkan maksiat.
Pendek kata golongan atau orang yang bersimpati dengan nasib Mak Nyah akan dipandang serong atau dikecam kerana membantu orang yang dianggap berdosa dan "kambing hitam dalam masyarakat".
Bagi orang politik, membantu Mak Nyah dikhuatiri akan menyebabkabn mereka hilang populariti ataupun pegangan agama mereka akan dipersoalkan. Bagi orang biasa mereka akan terdedah dengan kutukan kawan kawan, saudara mara, majikan dan sebagainya.
Memang tidak dinafikan ada juga insan yang ikhlas bersimpati dengan Mak Nyah namun jumlahnya amat kecil.
Akhir sekali bilakah kemelut yang Mak Nyah alami akan berakhir? Bilakah kewujudan mereka akan diiktiraf dan dihormati seadanya?
Hakikatnya, hidup seorang Mak Nyah amat pedih namun ia tidak perlu dikesalkan. Seorang Mak Nyah perlu menerima hakikat dirinya agar perjalanan hidupnya akan lebih tabah, yakin dan bersemangat.
Penulis adalah daripada komuniti minoriti Mak Nyah .