Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya memuat naik post Facebook beberapa hari lepas menunjukkan jabat tangan antara dua tangan, satu yang menggambarkan logo MCA dan satu lagi dengan bendera China.

MCA membentuk “Belt and Road Centre” (Pusat Lingkaran dan Laluan) dan “MCA People’s Republic of China Affairs Committee” (Jawatankuasa Hal Ehwal MCA-Republik Rakyat China) dengan harapan untuk berkhidmat sebagai "promoter" bagi kepentingan China di Malaysia.

Melalui langkah ini, mereka mungkin berharap untuk memenangi pujian dan sokongan daripada pengundi kaum Cina di Malaysia.

Saya berpendapat MCA keliru berkenaan peranan dan misinya sebagai sebuah parti pemerintah.

Sebagai sebuah parti yang memerintah Malaysia, MCA adalah salah untuk bertindak sebagai ejen bagi kepentingan China di Malaysia.

Kita sudah pun ada Kementerian Luar Negeri dan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, serta seluruh jentera kerajaan yang di bawah arahan parti pemerintah.

Peranan MCA sebagai parti pemerintah adalah untuk memastikan agensi kerajaan meneruskan dasar-dasarnya.

Penyelesaian mudah ekonomi

Tidak salah untuk MCA mempunyai hubungan parti ke parti dengan parti politik di China tetapi ia adalah bertentangan dengan norma untuk parti politik Malaysia membentuk “Jawatankuasa Hal Ehwal MCA-Republik Rakyat China”, yang diwakili oleh gambar pelik jabat tangan antara logo MCA dan bendera China.

MCA juga salah untuk menganggap bahawa pelaburan China, atau mana-mana pelaburan asing dalam hal ini, adalah satu penyelesaian mudah untuk masalah ekonomi di Malaysia.

Apa yang diperlukan oleh industri kecil dan sederhana (IKS) di Malaysia adalah kesanggupan politik daripada kerajaan untuk membantu mereka menaik taraf, menambah nilai dan meningkatkan teknologi.

Dalam usaha mendapatkan manfaat terbaik daripada pelaburan asing di Malaysia, terutamanya IKS, pelabur asing perlu disyaratkan untuk menggunakan sebanyak mungkin material dari dalam negara dan tidak mengimport semua material dari negara asal mereka.

Dasar sedemikian juga akan memastikan mata wang Malaysia tidak lemah lagi.

Bagi membantu pekerja Malaysia, kerajaan juga perlu mensyaratkan pelabur asing untuk mengambil seramai yang mungkin rakyat tempatan sebagai pekerja.

Ini adalah tugas untuk sebuah parti pemerintah seperti MCA dan menteri seperti Wee Ka Siong, yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi IKS.

Situasi menyayat hati

Dalam jawapannya kepada posting Facebook saya, Wee Ka Siong berkata:

“Usaha MCA untuk menggalakkan Inisiatif Lingkaran dan Laluan China adalah penting dalam membantu rakyat Malaysia merebut peluang perniagaan dan juga untuk melobi bagi pelaburan China.”

Wee juga berkata “Inisiatif Lingkaran dan Laluan ini, jika dibiarkan tanpa diterokai, akan menyebabkan kerugian peluang.”

Begitu pelik untuk melihat seorang menteri kerajaan dengan alasan bahawa dia memerlukan “Jawatankuasa Hal Ehwal MCA-Republik Rakyat China” untuk melakukan tugas kerajaan dalam perdagangan dan promosi pelaburan, lebih-lebih lagi untuk menggalakkan pelaburan China.

MCA dan Wee perlu belajar menjadi matang. Majoriti rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang etnik, termasuk etnik Cina, tahu bahawa kita adalah rakyat yang mengutamakan Malaysia Malaysians first. Mereka juga maklum sepenuhnya, sama ada pelabur itu dari China, India atau Indonesia, mereka adalah pelabur asing.

Pada saya, MCA dan Wee seakan keliru dan juga cuba untuk mengelirukan orang ramai.

Kenyataan bahawa kita membahaskan perbezaan asas seperti peranan sebuah parti politik yang memerintah dan juga agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab bagi hal ehwal luar dan pelaburan, mencerminkan situasi menyayat hati politik Malaysia.
 


LIEW CHIN TONG pengarah pendidikan politik DAP merangkap anggota parlimen Kluang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS