Sudah lebih dua minggu penyitaan aset atas "kekayaan Rakyat Malaysia yang “dicuri" diumumkan Jabatan Kehakiman (DOJ), Amerika Syarikat (AS).
Hingga kini kita masih belum lagi nampak apa-apa tindakan diambil ke atas pihak-pihak yang bertanggungjawab, khasnya "Malaysian Official 1" (MO1) yang disebut tidak kurang daripada 36 kali dalam laporan kes DOJ tersebut.
DAPSY ingin menegaskan tidak ada penafian langsung daripada kerajaan BN atas kesahihan tindakan DOJ tersebut dan tidak ada penafian Perdana Menteri Najib Razak bahawa beliau sebenar-benarnya MO1 yang dinamakan tersebut.
Jumlah wang rakyat yang terlibat dalam kes penyitaan oleh DOJ ini lebih daripada AS$1 bilion (RM4 bilion).
Wang ini sekiranya digunakan untuk membiayai biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebanyak RM240 juta setahun yang dihentikan Januari lepas, mencukupi untuk menampung keperluan biasiswa selama 16 tahun.
Ia pasti dapat memberi manfaat lebih daripada 12,000 pelajar yang berprestasi tinggi.
Tidak seperti Pemuda Umno yang sanggup untuk menjadi "macai" kepada presidennya Najib Razak yang ditimpa skandal terbesar dalam sejarah Malaysia, DAPSY komited mendesak kebenaran diserlahkan dalam skandal 1MDB demi masa depan anak-anak muda dan negara.
Keberanian anak-anak muda dan mahasiswa menganjurkan Himpunan #TangkapMO1 membuktikan golongan itu tidak akan berdiam diri atas isu-isu yang melanda negara.
Kesungguhan ini harus menjadi suatu usaha yang mendorong kesemua pihak bersama-sama untuk menuntut kebenaran dalam skandal 1MDB.
DAPSY menggerakkan kesemua bahagian-bahagian dan anggota-anggotanya turun di ibu kota pada 27 Ogos nanti bagi menyokong himpunan #tangkapMO1 dan berhimpun secara aman untuk mendesak supaya MO1 dan mana-mana pihak yang terlibat dalam 1MDB dihadapkan ke muka pengadilan.
WONG KAH WOH ketua DAPSY merangkap ADUN Kawasan Canning.