Paling Popular
Terkini

ULASAN I Tidak semua insan lahir sebagai pahlawan. Ramai pahlawan sebenarnya lahir di tengah-tengah pegelutan dan ujian yang mendugakan. Tidak mungkin pahlawan digelar pahlawan tanpa sebarang catatan hidup yang mengagumkan. HAMKA atau Haji Abdul Malik Karim Amrullah adalah sebahagian dari sosok tubuh pahlawan yang telah dikurniakan buat bangsa ini.

HAMKA merupakan anak kepada seorang tokoh ilmuan besar berbasa basi ajaran Kaum Muda, Abdul Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Haji Rasul. Beliau juga cucu kepada seorang ulama besar Minangkabau. Justeru, tidak hairanlah beliau lahir di tengah-tengah keluarga beragama dan seterusnya menjadikan beliau seorang tokoh agama yang serba-boleh.

Memang sudah menjadi hasrat bapanya untuk melihat anaknya ini menjadi ulama. Ini disebutkan sendiri oleh Buya Hamka dalam karya memori kepada ayahnya yang berjudul Ayahku: “Ayahku menaruh harapan atas kelahiranku agarku kelak menjadi orang alim pula seperti ayahnya, datuknya dan datuk-datuknya yang terdahulu”.

Hamka mendapat pendidikan dari bapanya Haji Rasul di perguruan Thawalib. Namun sebagai anak manja, beliau tidak dapat menyesuaikan diri lalu menjadi malas dan nakal. Masa beliau banyak dihabiskan di perguruan persilatan bagi menajamkan ilmu persilatan Melayu. Setelah itu beliau merantau ke Perkalongan, Jawa untuk tinggal bersama kakak dan menuntut ilmu bersama abang iparnya A.R Sultan Mansor. Kemudian beliau tinggal pula dengan pak ciknya Jaafar Amrullah di Jogjakarta dan mengikuti pengajian yang dikelolakan oleh Syarikat Islam. Di sinilah beliau belajar dengan pimpinan Muhamadiyah seperti Kh Moctar, KH Fachruddin, Kiai Bagus Hadikusumo dan lain-lain.

Setelah itu, beliau berangkat ke Mekah untuk melanjutkan pengajian dan bekerja di kedai pencetakan. Pekerjaan ini telah banyak membantu beliau menguasai bahasa Arab dan seterunya menajamkan pemikirannya kerana hidup bergelumang dengan ilmu.

Perjuangan Hamka bermula dengan bidang penulisan. Beliau aktif menulis semenjak usia belasan tahun. Tulisan pertamanya adalah sebuah cerita berjudul Siti Sabariyah yang mengisahkan seorang gadis bernama Sabariyah yang dikahwinkan dengan Si Pulai. Kehidupan Sabariyah dan Si Pulai yang daif telah memaksa Si Pulai merantau mencari rezeki. Disebabkan tiada berita dari Si Pulai, ibu Sabariyah meminta agar Sabariyah meminta cerai dari Si Pulai untuk dikahwinkan dengan seorang pemuda kaya. Si Pulai yang baru pulang mendengarkan pujukan ibu Sabariyah telah membunuh Sabariyah dan kemudian membunuh diri. Kisah yang pertama kali ditulis ini telah mendapat perhatian besar.

Kemudian Hamka turut mengendalikan majalahnya sendiri seperti Majalah Pedoman. Masyarakat yang dari majalah ini lahirlah karya-karya yang cukup mengagumkan seperti Falsalah Hidup, Tasauf Modern, Lembaga Hidup dan Lembaga Budi.

Hamka turut bersama-sama rakyat Indonesia menentang melawan Belanda dan dalam masa yang sama berjuang sebagai pimpinan Muhamadiyah Sumatara Timur. Beliau telah dipilih Oleh Mohamad Hatta sebagai Secretaris Front Pertahanan Nasional. Dari sini, Hamka telah menubuhkan Badan Pembela Negara dan Kota (BKNK) yang merupakan sebuah pasukan tentera gerila menentang Belanda. Beliau sendiri turut serta berperang secara gerila dengan Belanda bagi mendapatkan kemerdekaan Indonesia.

Setelah berjuang dalam peperangan gerila dan kemudian Belanda memerdekakan Indonesia pada 1949, Hamka telah turut serta bersama membangunkan pembinaan negara bangsa Indonesia. Pada masa yang sama, Hamka juga tidak gemar dengan gerakan Komunis yang merapati Presiden Soekarno. Hubungan akrab Soekarno dan komunis ini dilihat sebagai perkembangan tidak sihat kepada fasa kemajuan Islam di Indonesia. Komunis juga tidak gemar dengan fahaman Islam Hamka yang dilihat sebagai satu ancaman.

Kritikan-kritikan Hamka di radio dan tulisan-tulisan di Majalah Panji Masyarakat telah tidak menyenangkan Komunis. Puak-puak Komunis pula dalam masa yang sama turut mengkritik Hamka melalui tulisan di dada-dada akhbar seperti “Neo Masyumi Muncul di Masjid al-Azhar”. Akhirnya pada 27 Ogos 1964, Hamka telah ditangkap dan dipenjarakan atas tuduhan mengadakan pertemuan rahsia untuk membunuh Soekarno dan mendapatkan bantuan kewangan dari Tunku Abdul Rahman untuk menjatuhkan Soekarno. Majalahnya Panji Masyarakat telah diharamkan.

Hamka dipenjara selama lebih tiga tahun. Masa yang ada itu telah beliau manfaatkan untuk menulis tafsir al-Quran yang sangat terkenal iaitu Tafsir al-Azhar yang mengambil nama Masjid al-Azhar tempat beliau mengajarkan kuliah tafsir setiap Subuh di kawasan perumahannya di Jakarta. Penulisan tafsir ini sangat penting bagi masyarakat Melayu memandangkan kebanyakan tafsir ketika itu di dalam Bahasa Arab yang menyukarkan belia-belia Islam yang tidak mahir bebahasa arab memahaminya.

Hamka sendiri mengunakan perumpamaan “rumah telah kelihatan, jalan ke sana tidak tahu” bagi mengambarkan keperluan untuk mempunyai sebuah karangan tafsir dalam bahasa Melayu. Dr Wan Sabri Wan Yusof ketika memberikan komentar mengenai Tafsir ini telah menyatakan: “Hamka work is the product of his enviroment. Tafsir al-Azhar is a product of Twentieth Century Indonesia. As an independent reformist, Hamka took a blod stand against colonialism during the period of struggle for independent against the Dutch an Christian missinories. His efforts were landmark achiments in the reform struggle in.

Ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI) beliau telah mengeluarkan fatwa mengharamkan masyarakat Islam dari merayakan perayaan natal ataupun Hari Krismas. Beliau juga dengan tegas mengharamkan umat Islam dari merayakan Hari Natal di dalam gereja. Fatwanya itu tidak menyenangkan pemerintah termasuk Menteri Agama.

Pada tahun 1980, Hamka sendiri meletakkan jawatan sebagai Ketua MUI sebagai tanda membebaskan diri dari cengkaman pemerintah. Ketegasan Hamka ini dapat dilihat dari ucapan beliau ketika perasmian Majlis Ulama Indonesia di hadapan Menteri Agama dan Menteri Dalam Negeri Hamka menyatakan bahawa ulama berperanan dalam mengisi pembangunan rohani.

Namun, itu tidaklah membenarkan segala tindakan pemerintah. Majlis Ulama Indonesia ini adalah umpama kuih bingka, beliau harus pandai menjaga jarak, kerana bila terlalu dekat dengan pemerintah, nescaya hangus, begitu juga bila terlalu dekat dengan rakyat juga boleh jadi hangus. Dalam masa yang sama Hamka juga menyatakan kekesalanya kerana pernah terjerumus mejadi Ketua MUI selama 9 tahun (1950-1959) dengan menyatakan "terhenti" kebebasan saya dengan memperjuangkan “beleid” kebijakan pemerintah, meskipun berlawan dengan jiwa saya”.

Hamka juga mengkritik para ulama yang sudi menjual harga agamanya dengan kritikan yang tajam : kaum intelek yang melacurkan diri, mengkhianati ilmu pengetahuan lalu menjadi badut-badut yang setia meng"ilmiah"kan kebohongan.

Pada 24 Julai 1981, selepas selesai solat Tarawikh di Masjid al-Azhar, Hamka mendapat serangan jantung dan meninggal pada usia 73 tahun. Seperti yang diungkapan oleh Dato' Siddiq Fadzil Hamka merupakan tokoh istimewa yang bersifat multi demensi; sasterawan-sejarahwan, ilmuan-budayawan dan ulama pemikir yang terkenal sebagai singa podium dan pahlawan pena.


MOHD FITRI IBRAHIM Penulis merupakan Pengurus Perancangan Strategik dan Komunikasi Koporat, Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP). Pandangan penulis adalah bersifat peribadi dan tidak mencerminkan pandangan YIPP.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS