Umum sedia maklum tahap kos sara hidup kini di Malaysia sudah menjangkau tahap membimbangkan.
Majoriti anggota masyarakat mengeluh akan kesempitan yang semakin menghimpit, hasil dari pelbagai jenis kenaikan sama ada harga bahan mentah dan pengangkutan awam.
Golongan mahasiswa turut tidak terkecuali merasai sedikit sebanyak keperitan hidup dalam keadaan ekonomi negara yang tidak stabil kini.
Sebagai ketua mahasiswa di universiti, kadangkala hati terusik bila mendapat khabar dari pengusaha makanan bahawa ada mahasiswa yang makannya sehari sekali, itu pun nasi putih bersama telur dan kuah.
Permohonan wang zakat di peringkat universiti juga semakin meningkat akibat daripada wang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) tidak lagi cukup untuk menampung perbelanjaan.
Malah, lebih sedih lagi bila mengetahui ada mahasiswa yang menghantar sebahagian wang PTPTN ke kampung untuk belanja keluarga yang juga tidak mampu menampung kos sara hidup.
Jadi tidak hairanlah persatuan mahasiswa seperti Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS) pernah mengeluarkan kenyataan untuk turun berdemonstrasi bersama NGO tertentu untuk membantah kos sara hidup mahasiswa yang membebankan.
Ini kerana mereka yang berada bersama-sama dalam kalangan mahasiswa cukup faham dan turut merasai tempias situasi semasa kini.
Enggan terus mengharapkan simpati mana-mana pihak, beberapa persatuan dan majlis perwakilan pelajar universiti awam (UA) mula melakukan program ' suspended meals ' iaitu program penyediaan makanan percuma secara prabayar oleh peserta yang ingin menderma untuk mahasiswa memerlukan.
Antara UA yang memiliki program ini ialah Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan niversiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Usaha murni seperti ini harus dipuji dan patut dicontohi persatuan-persatuan mahasiswa yang lain agar dapat meringankan bebanan mahasiswa yang kurang berkemampuan.
Kerajaan digesa untuk memandang serius situasi kos sara hidup tinggi yang dihadapi mahasiswa.
Walaupun kerajaan menerusi menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berjanji tiada kenaikan yuran pengajian untuk tahun 2016, ini tidak bermakna mahasiswa boleh terus menarik nafas lega.
Kenaikan tambang LRT dan KTMB hampir seratus peratus yang diumumkan pada awal Disember 2015 misalnya turut memberikan kesan kepada para pengguna termasuklah mahasiswa.
Harga bahan mentah dan makanan yang kian meningkat termasuk harga makanan di dalam kampus turut membuatkan mahasiswa tidak senang duduk, belum lagi dikira pening kepala pemimpin mahasiswa mencari dana untuk program pembangunan mahasiswa pada tahun hadapan selepas hampir kesemua UA ditolak peruntukannya.
Sebagai wakil mahasiswa, saya turut menggesa pihak kerajaan untuk hadir dengan penyelesaian bagi mengeluarkan mahasiswa daripada keadaan yang menggusarkan pada ketika ini.
Saya memuji usaha kerajaan dengan pemberian kad siswa dan baucar buku.
Namun, sesuatu perlu dilakukan seperti pemerkasaan kad siswa yang boleh digunakan sebagai kad diskaun secara lebih meluas.
Fungsi kad siswa ini seolah makin hilang seiring pergerakan waktu.
Pemberian baucar buku, BB1M juga harus diperhalusi waktu pemberian dan skop penggunaannya.
Adalah lebih baik jika ia tidak terhad kepada buku dan alat tulis sahaja, malah boleh diperluaskan kepada barang keperluan mengikut bidang seperti pembelian stetoskop untuk mahasiswa perubatan.
Ini demi memastikan golongan pewaris negara ini lebih tenang dan tidak tertekan dalam memberikan fokus kepada mencapai kecemerlangan akademik dan seterusnya membentuk diri menjadi graduan yang holistik.
MUHAMAD AIMAN MOHD NAHZERI yang dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Utara Malaysia (UUM).