Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Yang menjadi perhatian dalam pemilihan Umno kali ini bukanlah isu Ku Li, bukan isu Shahrir (Samad), bukan kerana Siti Zaharah (Sulaiman) mahu lawan Rafidah (Aziz) atau Noraini (Ahmad) yang terpaksa bertempur dengan Suraya (Yaakob).

Tetapi yang menariknya kali ini, walaupun saya hanyalah dalam Puteri Umno, ialah pemilihan Pemuda, apabila Khairy Jamaluddin membisikkkan minat untuk menjadi naib ketua pergerakan itu.

Begitu juga akan menjadi dramatik jika Nori Abdullah Badawi turut mahu bertanding sebagai naib ketua Puteri ataupun ketua Puteri Umno.

Niat Khairy memang sudah lama untuk menjadi orang nombor satu dalam apa-apa bidang. Mereka suka dinobatkan. Suka diangkat. Suka ada kuasa dan pandai menggunakan kuasa berkenaan.

Oleh itu eloklah dibuat pendedahan sebenarnya mengenai Khairy. Pendedahan sebegini tentunya tidak akan disiarkan oleh mana-mana media arus perdana kerana kepentingan politik, tetapi laman bersedia untuk 'memberi ruang' terhadap suara akar umbi.

Dari segi tingkahlakunya, Khairy adalah seorang yang baik, walaupun kelihatan sedikit sombong, dan pencinta kuasa. Mengapa Azimi Daim mahu menarik diri?

Jawapannya, kerana Khairy telah menyediakan tempat bertanding dan membisikkan kepada Syed Razak Syed Zin (Menteri Besar Kedah) supaya memberikan Azimi Daim jawatan exco kerajaan negeri.

Oleh sebab bisikan itu dari orang dekat perdana menteri, maka suara bisikan itu dikatakan dari perdana menteri.

Maka, yang memberi budi kepada Azimi ialah Khairy. Jika Azimi berani melawan Khairy, bermakna mengigit tangan pemberi kedudukan kepadanya. Dalam hirarki Pemuda, jawatan exco negeri itu, tentunya lebih wajar diberikan kepada Aziz Syeikh Fadzir yang merupakan naib ketua pergerakan itu.

Begitu juga jawatan setiausaha politik kepada menteri kewangan II yang diberikan kepada Norza Zakaria. Dan yang menentukan keputusan itu tentunya penjabat perdana menteri.

Kaedah memberi budi kepada bakal pesaing telah dilakukan oleh Khairy, supaya kedua-dua tokoh itu tidak akan melawannya.

Begitulah juga kepada Dr Adham Baba. Walaupun Dr Adham bukan selesa dengan Khairy yang menjadi timbalannya dalam biro pendidikan, tetapi Khairy telah memberi hadiah jawatan setiausaha parlimen. Dan, senyaplah Dr Adham.

Kuasa yang sedikit diberikan oleh mentua kepada menantu, telah digunakan sebaik mungkin. Maka, saksikanlah apa lagi akan berlaku apabila menantu akan dapat lebih banyak kuasa nanti.

Akan lebih ramai Pemuda yang akan mengasingkan diri dari gerakan politik Umno kerana keelitisan Khairy.

Pemuda akan bertambah lebih elit dan tidak ada lagi tempat untuk orang kampung. Tidak ada tempat lagi bagi pejuang tulen. Tidak ada lagi pelapis yang betul-betul bersedia berkorban untuk Umno.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS