Most Read
Most Commented
Read more like this

Saya tertarik dengan pandangan Abdus Salam yang kelihatan agak kecewa dengan kritikan saya mengenai kebekuan berfikir para mahasiswa tempatan. Terlebih dahulu, ampun dan maaf sekiranya ia agak terbuka dan juga tidak berlapis. Bagaimana untuk saya menjadi rasional dengan isu tersebut sedangkan ia adalah satu hakikat yang anda perlu terima?

Jangan katakan kita pergi terlalu jauh untuk penghapusan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) kerana ia sememangnya tembok pertama yang perlu kita runtuhkan dalam mengembalikan kebebasan mahasiswa.

Contoh pertama, anda bercakap mengenai suasana selesa yang dihadapi mahasiswa dan juga graduan akibat pembangunan ekonomi dan kemajuan pesat negara. Ini satu kesilapan kerana puncanya, mahasiswa lebih suka melepak di Mid Valley dan juga KLCC kerana ia konon lambang pembangunan pesat negara, sedangkan mereka sepatutnya pergi melihat bagaimana kehidupan masyarakat bawahan di sepanjang Jalan Klang Lama.

Golongan mahasiswa hari ini lebih rela mengeluarkan RM5 sejam untuk menyewa kereta Kancil untuk membawa teman wanita keluar makan di Sri Hartamas, daripada membeli majalah ilmiah sebagai bahan bacaan tambahan. Kenapa semua ini berlaku? Bukankah ia berpunca dari Auku yang menutup ruang untuk golongan mahasiswa ini berfikir dan bertindak dengan lebih luas lagi?

Apabila ada kumpulan tertentu menganjurkan program yang mahu mendekatkan mahasiswa dengan kehidupan masyarakat bawahan hari ini, mereka menolaknya kerana ia di luar program universiti. Mengapa ditolak? Kerana bimbangkan tindakan yang akhirnya akan kembali kepada kewujudan sebuah undang-undang iaitu Auku. Tidak rasionalkah pandangan ini?

Anda kemudiannya mahu menyalahkan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang antara lainnya suka menjaga "tepi kain orang", tetapi sedarkah anda mengapa HEP bertindak demikian dan undang-undang apa yang menekan HEP untuk berbuat demikian?

Agenda berkaitan jumlah graduan yang menganggur yang semakin ramai juga berpunca daripada "hantu raya" yang sama. Graduan hari ini ramai yang gagal mendapatkan pekerjaan kerana mereka tidak berfikir sebagai seorang graduan untuk mendapatkan pekerjaan. Ia juga berpunca dari Auku yang membelenggu pemikiran mereka.

Sebagai contoh,graduan dalam bidang pendidikan hanya memikirkan bilakah dia akan diterima mengikuti program KPLI untuk selanjutnya menjadi guru.

Cuba persiapkan diri dengan pelbagai pengetahuan lain, dengan berfikir secara terbuka bahawa di Malaysia ini ada pelbagai bidang kerja, ada pelbagai bidang masalah yang memerlukan cerdik pandai, ada pelbagai pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan yang memerlukan pemikir, penggerak dan juga penyokong.

Oleh kerana sejak di universiti lagi anda semua sudah dibelenggu untuk berfikir dengan satu arah, maka apabila tamat pengajian, anda hanya mahu berfikir untuk mendapatkan pekerjaan "yang sesuai dengan kelulusan" membeli kereta Kancil dan seterusnya meminang teman wanita anda untuk hidup aman damai tanpa memikirkan mengenai nasib orang lain.

Apa rasionalnya anda membicarakan kewujudan sudut pidato umum di Hyde Park dengan situasi mahasiswa di Malaysia? Apakah hanya dengan sudut pidato umum sahaja anda boleh mengeluarkan pandangan, bertindak dan membantu masyarakat, atau memberikan sumbangan bersesuaian dengan " kelulusan anda"?

Kesemua ini akan membawa kita untuk menyalahkan Auku semula yang menjadi punca kepada semua masalah tersebut. Kerajaan memang tepat apabila mengatakan mahasiswa hilang kreativiti dan malas berfikir kerana itu adalah satu kejayaan Auku.

Ia bukan bermaksud malas berfikir dan hilang kreativiti secara total, tetapi anda semua hilang kreativiti bagaimana untuk bertindak selaku mahasiswa di sebalik kongkongan Auku, dan anda malas berfikir bagaimanakah cara untuk "beraksi" selaku mahasiswa di sebalik pemantaun HEP.

Saya sedih apabila diminta rakan-rakan sepengajian sekarang mengeluarkan RM50 semata-mata untuk mengadakan majlis "high-tea" bagi merayakan kejayaan kami semua menghabiskan subjek pengajian semester ini, sedangkan tesis masing-masing belumpun mempunyai tajuk lagi. Jelas sekali, walaupun sudah berada di peringkat pengajian Sarjana, mereka masih lagi malas berfikir.

Mereka hanya mahu menjadikan status mahasiswa sebagai satu tiket berseronok, mempunyai kenalan yang ramai dan berlagak sebagai golongan pemikir elit. Fikirkan rasionalnya!


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS