Most Read
Most Commented
Read more like this

Pada pilihanraya kali ini, beberapa pemimpim Barisan Nasional (BN) telah melaung-laungkan slogan 'Pembangkang Sifar'. Mereka ini begitu bertekad untuk meranapkan pembangkang, baik dalam Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN). Antara yang mempelopori laungan pembangkang sifar ini ialah Menteri Besar Negeri Selangor DatukSeri Khir Toyo.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli juga tidak ketinggalan, walaupun pilihanraya umum sudah berlalu. Beliau memberitahu media pada dua hari yang lalu bahawa BN Perak akan menubuhkan jawatankuasa yang dianggotai semua pengerusi parti komponen BN negeri, untuk menganalisa prestasi BN di negeri tersebut.

Antara tugas penting ahli jawatankuasa ini ialah mengkaji punca kegagalan BN di Lembah Kinta, dan mengatur langkah supaya BN dapat memenangi balik semua kerusi DUN di situ dalam pilihanraya umum akan datang untuk mencapai kemenangan 100 peratus di Perak. Retorik Tajol Rosli ini bermakna beliau sendiri juga memimpikan pembangkang sifar di Perak.

Laungan 'pembangkang sifar' ini menunjukkan sikap angguh pemimpim BN. Walaupun pembangkang kebanyakannya berjaya memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi di setiap negeri, tetapi laungan 'pembangkang sifar' ini begitu kuat diteriakkan (khususnya melalui media perdana) sehinggakan penulis ini langsung tidak memahami mengapa barisan kepimpinan BN begitu membenci pembangkang.

Kalau kita mengimbas kembali zaman Mahathir, kita rasa-rasanya jarang terdengar slogan 'Pembangkang Sifar' ini, malahan Mahathir sendiri pernah menyatakan bahawa Malaysia memerlukan pembangkang, apa yang dihujah oleh Mahathir hanyalah bahawa pembangkang di Malaysia tidak 'konstruktif'.

Keadaan nampaknya berbeza dengan pentadbiran Pak Lah di mana, belumpun BN memenangi pilihanraya kali ini, rakyat sudah dibanjiri dengan pelbagai mesej kempen pilihanraya BN yang membawa maksud 'pembangkang sifar', walaupun ianya tidak tercapai.

Bagi rakyat, apa yang perlu ditanya ialah apa itu 'pembangkang sifar'? Apakah agenda tersembunyi di sebalik 'pembangkang sifar'? Mengapa BN masih lagi taksub dengan 'pembangkang sifar' selepas pilihanraya? Apakah yang menyebabkan mereka membenci pembangkang sehingga mereka mahu menghapuskan pembangkang?

Apa yang pasti, sekiranya Dewan Rakyat dan DUN berada dalam keadaan 'pembangkang sifar', maka sistem demokrasi berparlimen di Malaysia sudah kehilangan maknanya. Ini adalah kerana 'pembangkang sifar' inilah yang akan menjadi Malaysia sebuah negara autokratik dan diktator.

Dan BN hampir menggondol 90 peratus daripada kerusi Parlimen yang dipertandingkan dalam pilihanraya kali ini. Jumlah itu sudah jauh melepasi majoriti dua pertiga yang amat diperlukan oleh BN. Sudah tentu, ini bukanlah satu jalan yang sihat untuk sebuah masyarakat demokratik seperti Malaysia.

Hingga sekarang, pembangkang belum mampu dan masih kekurangan keyakinan rakyat. Selain PAS yang memang mempunyai pengalaman mencukupi untuk mentadbir kerajaan negeri, penulis masih belum yakin terhadap kemampuan pembangkang untuk mentadbir. Walaupun begitu, ini tidak harus dijadikan satu alasan untuk BN melaungkan slogan 'Pembangkang Sifar'!

Penulis menjangka keadaan akan terus tidak begitu cerah bagi pembangkang (termasuk DAP) kerana bilangan kerusi yang tipis di Dewan Rakyat. BN akan terus memonopoli dan menjadi dominan dalam Dewan Rakyat dan DUN.

Dalam pada itu, penulis tertarik dengan kenyataan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Seng Kok dalam kolumnya - Bicara Enam Hari - di Sin Chew Jit Poh :

"Disebabkan wakil rakyat pembangkang yang amat sedikit di Dewan rakyat dan DUN di negeri-negeri yang diperintah oleh BN, maka mungkin wakil rakyat BN perlu memainkan peranan pembangkang untuk menyemak dan mengimbangi kuasa kerajaan BN."

Apabila Loh berkata sedemikian, penulis berasa amat ragu dengan kenyataannya kerana sekiranya sistem politik demokrasi di Malaysia masih belum matang, beranikah wakil-wakil rakyat BN bertukar peranan menjadi pembangkang di Dewan Rakyat atau DUN?

Beranikah mereka menolak resolusi-resolusi yang dirancang Kabinet? Apa yang penulis jangkakan mungkin mereka akan bertanya dan berdebat di Dewan Rakyat atau DUN, tetapi apabila sampai masanya untuk membuat keputusan, maka mereka tiada pilihan selain menyokong dasar-dasar kerajaan, sekiranya mereka tidak mahu kehilangan periuk nasi masing-masing.

Slogan 'pembangkang sifar' ini pada realitinya sesuatu yang perlu ditolak bulat-bulat oleh rakyat Malaysia dan mereka tidak perlu lagi menaruh harapan bahawa wakil rakyat BN dapat memainkan peranan 'check and balance' yang sepatutnya merupakan tanggungjawab pembangkang.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS