Dengan hormat perkara diatas adalah dirujuk.

Merujuk kepada laporan Malaysiakini tulisan Lawrence Yong semalam, " Survey puts fraud at 'quite dangerous' level in M'sia ", Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menegaskan bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed sama sekali tidak menyamakan gejala rasuah di Malaysia sebagai satu persepsi semata-mata.

Rujuk berita bergambar Tan Sri Abu Kassim Mohamed "So now corruption is also just perception?" bertarikh 14 Jan 2014 jam 8.46am.

Laporan yang tidak tepat itu telah memberi gambaran bahawa SPRM tidak serius sehingga menimbulkan salah tanggapan di kalangan pembaca, di mana ada yang menggunakan kata-kata kurang manis terhadap SPRM.

Sehubungan itu, SPRM juga mahu menekankan bahawa SPRM terus-menerus memperlihatkan komitmen bagi memerangi rasuah dengan efektif. Ini dapat dilihat menerusi siri inisiatif, strategi dan program yang diambil oleh SPRM sejak kebelakangan ini, termasuklah Program Transformasi.

Akta SPRM 2009 juga sedang dikaji untuk memasukkan beberapa pindaan bagi mengetatkan peruntukan memerangi rasuah dengan lebih berkesan, antaranya yang berkaitan dengan korporat liabiliti.

Di bawah Program Transformasi SPRM sejak 2011, lebih 20 inisiatif baru telah diperkenalkan. Antaranya pelaksanaan Bilik Temu Bual Bervideo, Siasatan Sektor Swasta dan Siasatan Secara Berpasukan.

Inisiatif-inisiatif ini sudah membawa hasil, misalnya kadar sabitan sudah mula meningkat iaitu 54 peratus pada tahun 2009 kepada 85 peratus pada tahun 2012. Bagaimanapun SPRM mengharapkan hasil yang lebih berkesan dan menyeluruh sebagaimana dikehendaki oleh rakyat.

Perkara ini turut ditekankan oleh Tan Sri Abu Kassim dalam ucaptama pada Majlis Pelancaran "KPMG Fraud, Bribery & Corruption Survey Report 2013" di Petaling Jaya, semalam.

Laporan media lain dengan jelas menunjukkan perkara ini.

Malah, tulisan Lawrence Yong juga menyebut bahawa Tan Sri Abu Kassim mengambil pendirian 'tidak melihat dengan serius' atau downplayed hasil kajian KPMG itu.

SPRM juga ingin menjelaskan bahawa Tan Sri Abu Kassim sendiri dan pegawai-pegawai kanan pasti tidak akan hadir pada majlis itu sekiranya benar SPRM tidak memandang serius hasil kajian itu.

Malah, jika SPRM tidak bersikap serius dan komited dalam usaha memerangi rasuah, SPRM tidak akan bersetuju untuk menghadiri satu majlis anjuran MalaysiaKini pada Khamis ini (esok).

Sementara SPRM memahami kehendak dan harapan tinggi rakyat memerangi rasuah, usaha mencegah rasuah dan menyemai nilai-nilai murni memerlukan sokongan semua pihak.

SPRM mengalu-alukan pandangan dan sokongan semua pihak termasuk media bagi membolehkan SPRM berjaya dalam misi memerangi rasuah dengan bebas, telus dan profesional.

Sekian terima kasih.


AZMI ALIAS pengarah Bahagian Komunikasi Strategik,

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.